Sokong pemberontak, warga Myanmar ditahan

SINGAPURA, 11 JULAI – Singapura telah menahan beberapa warga Myanmar yang dituduh menganjur sokongan terhadap kumpulan pemberontak yang terbabit dalam pertempuran sengit dengan tentera di negeri Rakhine, kata pihak berkuasa.

Tentera Myanmar telah menghantar beribu-ribu tentera ke Rakhine dalam beberapa bulan ini untuk menumpaskan pemberontak Tentera Arakan (AA), yang berkata mereka memperjuangkan lebih banyak autonomi untuk penduduk etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Negeri barat menjadi tempat berlakunya tindakan keras tentera ke atas penduduk Rohingya pada 2017, apabila beratus ribu penduduk terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

Kumpulan yang disasarkan di Singapura mengumpul wang dan menganjur sokongan terhadap AA di kalangan komuniti dari negara asal mereka, kata kementerian dalam negeri Singapura dalam satu kenyataan lewat semalam.

“Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang mengambil tindakan ke atas beberapa warga Myanmar kerana menggunakan Singapura sebagai satu platform untuk menganjur dan mendapatkan sokongan untuk keganasan bersenjata menentang kerajaan Myanmar,” kata kenyataan. “Ia mengancam keselamatan Singapura.”

AA bertanggungjawab atas ‘serangan ganas’ di Myanmar dan telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Myanmar, katanya. – AFP