Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong pendekatan sibersekuriti ASEAN berselaras

    KUALA LUMPUR, 19 Sept –  Malaysia menyokong pendekatan berselaras terhadap usaha sibersekuriti dalam ASEAN, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

    Bercakap di luar Persidangan Peringkat Menteri Asean Ketiga mengenai Sibersekuriti 2018 di Singapura, beliau berkata satu diskusi telah berlangsung dalam kalangan menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) bersama menteri bertanggungjawab mengenai sibersekuriti, tentang bagaimana hendak bergerak ke hadapan dalam isu sibersekuriti dalam ASEAN.

    “Kedudukan Internet pada hari ini, berserta pembangunan pesat ekonomi digital, menyebabkan perlu ada banyak diskusi mengenai sibersekuriti di peringkat menteri,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh kementerian berkenaan.

    Dalam menyatakan sokongan Malaysia bagi pendekatan bersepadu untuk menangani isu sibersekuriti  dalam ASEAN, dan begitu juga dengan banyak cabaran lain dalam ruang digital, beliau berkata sibersekuriti  bukan satu isu yang boleh diuruskan oleh sebuah entiti tunggal tetapi merupakan usaha multi-forum.

    “Tertakluk kepada konsultasi dengan kementerian-kementerian dan agensi lain di  Malaysia, keutamaan pada saat ini adalah bagi satu daripada badan sektoral yang wujud dalam ASEAN menyelaras isu ini, dengan mandat luas, dan bukan membentuk sebuah badan sektoral lain yang memerlukan kos tinggi,” kata timbalan menteri itu.

    Badan-badan sektoral yang sedia wujud ketika ini yang menguruskan pelbagai aspek sibersekuriti di rantau ini ialah Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Jenayah Transnasional (AMMTC), Mesyuarat Inter-Sessional Forum Serantau ASEAN mengenai Keselamatan dan Penggunaan ICT (ARF ISM-ICT) dan Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan IT ASEAN (TELMIN). Persidangan sibersekuriti itu diadakan bersempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura Ketiga, dari 18 hingga 21 September. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda