Sokong pengeluaran daging rusa tulen

KUALA LUMPUR, 21 MEI – Kesedaran masyarakat tentang daging rusa asli atau tulen berupaya menyokong perniagaan dan pengeluaran daging rusa tempatan yang mapan.

Pensyarah Kanan (Theriogenologi dan Sitogenetik) Jabatan Pengajian Klinikal, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar dan Pensyarah Kanan (Sains Daging, Analisis Halal) merangkap Ketua Perkhidmatan Makmal Halal, Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin berkata ini kerana penternak haiwan itu bergantung harap pada penjualan daging rusa, terutama semasa musim perayaan.

Justeru itu, dalam kenyataan bersama hari ini, mereka memberikan penjelasan berhubung perbezaan daging rusa asli, import dan daging lembu.

“Ciri daging rusa asli sangat berbeza dari segi warna, kandungan air dan lemak dan juga kekenyalan. Secara amnya, warna daging rusa lebih gelap seakan warna daging kerbau manakala daging lembu sedikit cerah berbanding rusa.

“Daging rusa mempunyai kandungan air dan lemak kurang berbanding daging lembu. Namun perkara yang membuatkan penggemar rusa gian untuk menikmati dagingnya adalah kerana haiwan ini meragut secara bebas dan ini menyumbang kepada rasanya yang unik manakala daging import mempunyai keenakan serta rasa yang sedikit rendah daripada daging liar dan juga kurang berjus kerana telah disejuk beku melebihi 90 hari,” menurut kenyataan itu.– Bernama

Gambar fail bertarikh 5 April menunjukkan sekumpulan rusa dilihat menikmati makanan di Zoo Negara. Daging rusa mempunyai kandungan air dan lemak kurang berbanding daging lembu. – Bernama