Sokong pengusaha tempatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Lebih 40 vendor yang terdiri daripada syarikat, pengusaha serta peniaga kecil dan sederhana tempatan menyertai Ekspo Rimba Point 2019 yang berlangsung selama 45 hari bermula lewat September lalu di Rimba Point.

Sehubungan dengan itu, majlis pembukaan rasmi ekspo berkenaan telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min selaku tetamu kehormat majlis.

Ekspo yang dikendalikan oleh De’Isma Event Management and Marketing berkenaan antara lain juga mempromosi dan menawarkan serta menjual pelbagai barangan dan produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan dan luar negara seperti perhiasan rumah, pakaian, produk perhiasan diri, produk kesihatan, makanan dan banyak lagi.

Bagi memeriahkan lagi ekspo berkenaan, beberapa aktiviti menarik turut diaturkan khas bagi para pengunjung seperti cabutan tiket bertuah, peraduan mewarna, pemberian telur secara percuma dan kuiz.

Selain itu, ekspo pada kali ini turut menampilkan persembahan seperti parkour dan Kalistenik.

Antara tujuan ekspo berkenaan adalah bagi memperkenalkan Rimba Point sebagai destinasi dan pusat tempat orang ramai berbelanja di negara sendiri.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir sama bagi menyokong pengusaha tempatan dan berbelanja bagi mendapatkan tawaran-tawaran menarik yang diberikan pada ekspo berkenaan.

YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min meninjau sekitar ekspo berkenaan selepas pelancarannya. – Gambar oleh Muiz Matdani