Sokong peserta negara di Sukan SEA

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Kontinjen Brunei Darussalam akan memulakan cabaran baharu dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila, Filipina ketika mereka berusaha untuk mencatat rekod terbaik daripada edisi sebelumnya.

Brunei telah diwakili oleh 87 atlet untuk bertanding dalam 14 acara sukan seperti olahraga, akuatik, tenpin boling, wusyu, pencak silat, bola jaring, boling padang, polo, bola sepak, lawan pedang, tekwando, karatedo, golf dan biliard.

Turut berangkat dan bertanding dalam acara Sukan SEA itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah bagi sukan polo serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dalam acara bola jaring.

Majlis perasmian Sukan SEA ke-30 akan diadakan esok (30 November) di Philippine Arena, Bulacan dengan dihadiri oleh para pemimpin negara yang menyertai temasya sukan tersebut.

Pegawai kadet tentera Filipina menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam ketika lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ dimainkan pada Majlis Menaikkan Bendera Kontinjen Sukan SEA 2019 di Perkampungan Atlet New Clark City, Clark, Filipina. – Gambar oleh Infofoto