Sokong Rangka Kerja Kecekapan Industri (EICF)

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jan 10 – Bagi menyokong Rangka Kerja Kecekapan Industri (EICF) bagi pembangunan industri marin di Brunei, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) telah menyerahkan barangan daripada bekas Kapal Brunei Shell Tankers Sdn Bhd (BST) yang telah dikitar semula, Bilis, kepada Akademi Maritim Brunei (BMA).

Penyerahan barangan berkenaan telah diadakan hari ini di Pejabat Utama BGC di Jerudong di mana Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa dan Ketua BMA, Awang Suhaimi bin Haji Abdul Wahab menandatangani dokumen penyerahan dan penerimaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah pihak pengurusan dan kakitangan BGC, BMA dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Penyerahan peralatan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial BGC selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk menyokong aktiviti pendidikan di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BGC, Bilis merupakan salah sebuah daripada tujuh kapal kelas ‘B’ di bawah BST yang menghantar LNG ke Jepun dan telah dikitar semula pada 2014.

Haji Shahbudin (empat kiri) dan Awang Suhaimi bergambar ramai bersama kakitangan BGC dan BMA.
Haji Shahbudin (empat kiri) dan Awang Suhaimi bergambar ramai bersama kakitangan BGC dan BMA.
Majlis penyerah dokumen di antara BGC dan BMA.
Majlis penyerah dokumen di antara BGC dan BMA.

Ia dibina pada tahun 1975 dan merupakan yang paling muda dan terbesar daripada semua kapal kelas ‘B’ berkenaan.

Bilis telah mencatat banyak pencapaian bermula sebagai kapal kelas ‘B’ pertama yang dikeluarkan dengan Persijilan Notasi Alam Sekitar daripada Lloyd’s Register.

Kapal berkenaan juga merupakan yang pertama mendapat Persijilan ‘Pasport Hijau’ Lloyd’s Register dan pada 15 Jun 2015, Bilis telah menghantar kargo ke-5000 Brunei LNG di Terminal Negishi, Jepun.

Bilik mengulangi kejayaan ini dengan pengiktirafan antarabangsa bagi penghantaran kapal ke-6000 daripada semua projek LNG seluruh dunia, yang tiba di Sodegaura, Jepun pada Julai 2007.

BST mempunyai tujuh kapal kelas ‘B’ iaitu Bubuk, Bilis, Bekalang, Bekulan, Belais, Bebatik dan Belanak, yang semuanya disewakan kepada Brunei LNG. Daripada tujuh kapal berkenaan, hanya dua (Bebatik dan Belanak) yang masih beroperasi.

Kapal Bilis sebelum ini diuruskan oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), peruntukan perkhidmatan pengurusan dan pentadbiran kepada BST kini dijalankan oleh BGC sejak Jun 2005.