Oleh Syahmi Hassan –
SAN FRANCISCO, 19 NOV – Untuk membina ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan, APEC mesti terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang memastikan peluang-peluang yang sama dan persaingan yang adil.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan kepentingan inisiatif integrasi ekonomi serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam membuka kunci potensi penuh ekonomi APEC untuk kemakmuran yang lebih besar.
Sehubungan itu, Baginda menekankan komitmen berterusan untuk mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) sebagai keutamaan dalam APEC.
Baginda bertitah sedemikian semasa berkenan menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (Sesi II) yang berlangsung di Moscone Center, San Francisco, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Dalam titah, Baginda seterusnya mengiktiraf peranan APEC sebagai penggerak inovasi serta peluang-peluang dan risiko yang dibawa oleh kebangkitan kecerdasan buatan (AI), dan menekankan kepentingan terhadap penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan APEC terus menjadi rantau yang inovatif dan berpandangan ke hadapan dalam era digital ini.
Selain itu, Baginda juga menyeru agar penglibatan dengan semua pihak yang berkepentingan, dengan tumpuan kepada belia dan PMKS, dan mempromosikan pembangunan kemahiran digital mereka untuk memupuk inovasi sambil mengguna pakai dasar yang memudahkan akses pasaran antarabangsa yang akan memperkasakan mereka bagi bersaing di peringkat global.
Dalam usaha itu, Baginda mengetengahkan bahawa peranan APEC melalui ECOTECH sebagai inkubator idea adalah penting untuk proses APEC.
Pada mengakhiri titah, Baginda menyampaikan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam terhadap Peru sebagai Pengerusi APEC pada 2024.
Terdahulu, Sesi II telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R Biden Jr sebagai Pengerusi APEC bagi 2023.
Tuan Yang Terutama seterusnya menjemput Presiden Peru, Puan Yang Terutama Dina Boluarte selaku Pengerusi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) akan datang, untuk menyampaikan ucapan. Peru akan menjadi tuan rumah APEC bagi 2024.
Perbincangan dalam sesi tersebut telah tertumpu kepada kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.
Pada penghujung AELM itu, APEC Leaders’ 2023 Golden Gate Declaration Creating a Resilient and Sustainable Future for All telah dikeluarkan.
Sebagai sebahagian daripada hasil APEC 2023, Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia telah mengeluarkan satu Kenyataan Bersama sempena AELM ke-30.