Sokong tingkat sumber IMF sebanyak AS$650b

WASHINGTON, 8 APRIL – Pegawai-pegawai kewangan ekonomi utama dunia hari ini bersetuju dengan cadangan bagi mempertingkatkan sumber Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$650 bilion sebagai cara untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada negara-negara mudah terdedah dan bergelut menangani pandemik global.

Kumpulan 20 (G-20) negara-negara industri utama mengeluarkan satu kenyataan bersama yang juga mengumumkan kelulusan moratorium muktamad enam bulan ke atas pembayaran hutang oleh 73 negara-negara paling miskin di dunia.

Cadangan untuk meningkatkan sumber IMF diusulkan awal tahun ini apabila ia menerima sokongan daripada pentadbiran Biden. Sumber dikenali sebagai Hak Pengeluaran Khas IMF, juga membentuk aset yang boleh digunakan negara-negara untuk menambah rizab negara mereka sendiri.

Cadangan itu bagaimanapun masih memerlukan kelulusan daripada ahli lembaga IMF kemudian sumbangan daripada negara-negara anggotanya.

Perjanjian pembayaran hutang melanjutkan moratorium bermula tahun lalu sehingga hujung tahun ini. Namun kumpulan bantuan antarabangsa melahirkan ketidakpuasan apabila G-20 mengatakan pelanjutan akan menjadi yang terakhir untuk ditawarkan.

“Kami menyaksikan perkembangan dalam bantuan hutang dan bantuan kecemasan, namun kami masih perlu menyelesaikan pelbagai cabaran agar negara-negara dunia boleh mengharungi krisis ini,” kata eksekutif Jubilee USA Network, EricLeCompte. “Ia kemungkinan besar tidak akan mencukupi untuk negara-negara berhutang dengan hanya melanjutkan moratorium itu.”

G-20 juga memberikan sokongan kepada kempen pentadbiran Biden untuk merangka satu kadar cukai minimum global bagi perbadanan syarikat, mengatakan ia berharap dapat mencapai kesepakatan dalam kumpulan itu menjelang pertengahan tahun ini. –AP

Logo IMF kelihatan di bangunan mereka di Washington. Pegawai kewangan daripada ekonomi-ekonomi utama dunia bersetuju dengan cadangan untuk mempertingkatkan sumber kewangan IMF sebanyak AS$650 bilion dalam usaha memberikan sokongan kepada negara-negara mudah terdedah dan bergelut menangani pandemik global. –AP