Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    sokong Usaha hindari belenggu kemiskinan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Pendidikan harus ditekankan kepada anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan sebagai usaha untuk membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan kerana selaku golongan muda harapan keluarga mereka, mereka berkemampuan untuk merubah nasib keluarga jika mempunyai pendidikan yang sempurna.

    Oleh itu, program pendidikan bagi golongan muda khususnya anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan perlu terus ditekankan supaya dengan pendidikan itu, mereka mampu membantu keluarga masing-masing keluar daripada terus dibelenggu kemiskinan dan kitaran kemiskinan itu.

    Dalam hubungan itu, program-program pendidikan bagi golongan yang kurang berkemampuan yang dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang melibatkan golongan belia amat dialu-alukan serta terus mendapat sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyampaikan kata-kata nasihat pada Majlis Penutup Program Belia Menentang Kemiskinan (YAP) di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Progresif Cellular Sdn Bhd, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa usaha dan program yang dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang diterajui oleh golongan belia untuk memberikan latihan kemahiran kepada ibu bapa keluarga yang kurang berkemampuan adalah amat baik sekali kerana dengan kemahiran yang diperoleh seperti kemahiran memasak atau membuat kuih, ia boleh membantu mereka menambah hasil dapatan harian mereka serta tidak terus bergantung pada bantuan kebajikan sahaja.

    Yang Berhormat Dato Haji Aminuddin Ihsan.

    Mengulas lanjut mengenai latihan kemahiran itu, beliau berkata bahawa cabaran yang dihadapi ialah bukannya latihan kemahiran itu semata-mata tetapi adalah bagaimana mereka boleh memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang diberikan kepada dunia sebenar.

    Sementara itu, menyentuh lanjut mengenai peranan badan atau pertubuhan bukan kerajaan dalam membantu menangani masalah kemiskinan, Yang Berhormat Dato berkata, adalah penting bagi mereka untuk membangunkan program-program yang mampan, berkongsi idea-idea yang baharu serta untuk bekerjasama di antara satu sama yang lain dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing serta untuk menggelakkan daripada berlakunya duplikasi.

    Beliau turut mengambil maklum mengenai peranan, komitmen dan keinginan badan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dalam pembangunan negara terutama keinginan golongan belia untuk membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan keluar daripada kitaran kemiskinan.

    Dalam hubungan itu, beliau menasihati para belia bahawa dalam merangka program bantuan, program berkenaan bukan sahaja harus dilaksanakan bagi jangka pendek sahaja tetapi ia harus bersikap mampan serta berpanjangan.

    Yang Berhormat Dato juga menekankan bagi idea-idea baharu di mana ia harus selaras dengan keadaan semasa dan kepentingan negara serta juga bersikap berdaya-tahan. Beliau menambah bahawa dalam ekonomi digital pada masa ini, adalah penting bagi NGOs memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam program-program yang dilaksanakan oleh mereka.

    Di samping itu, beliau juga mengalu-alukan kerjasama pintar (Smart Partnership) antara pihak kementeriannya dan NGOs di mana semua pihak boleh bekerjasama mengetengahkan idea-idea baharu untuk mencapai satu matlamat yang sama di mana dalam konteks ini, adalah untuk menghapuskan masalah kemiskinan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda