Baru-baru ini saya ada terbaca satu surat pembaca bertajuk Perlunya sokongan untuk peniaga tempatan oleh Al yang disiarkan dalam Media Permata bertarikh 26 Oktober lalu.
Dalam surat pembaca berkenaan, penulis menyatakan mengenai hakikat warga tempatan lebih banyak berniaga secara mikro dalam bentuk gerai-gerai di Bandarku Ceria berbanding warganegara asing yang lebih mendominasi perniagaan kedai-kedai di ibu kota.
Saya secara peribadi mengakui apa yang dikatakan penulis adalah benar dan berasa warga tempatan agak mundur dalam perniagaan kedai meskipun secara kecil-kecilan.
Namun sebagai rakyat negara ini, saya tidak menyalahkan sepenuhnya warga tempatan.
Ini kerana sebagai salah seorang peniaga, saya juga berdepan kesukaran dalam menjalankan perniagaan.

Berdasarkan pandangan saya, pemilik yang berkeinginan untuk membuka sebuah kedai, perlu membuat simpanan dalam bank sebelum mendapat pinjaman. Jika begitu, pada pendapat saya lebih baik wang tersebut disimpan sendiri sehingga mencukupi untuk membuka kedai.
Selain itu, sokongan orang sekeliling, tidak dinafikan ia bermula daripada keluarga sendiri dan selebihnya daripada orang lain, namun apa yang menyedihkan kadangkala pihak keluarga sendiri tidak memberikan sokongan malah menjatuhkan pula.
Sebenarnya kita warga tempatan mampu memiliki kedai sendiri, apa yang penting adalah semangat untuk berjaya.
Selain itu, sokongan daripada pihak relevan melalui memudahkan prosedur membuka kedai dan membuat pinjaman juga perlu, begitu juga sokongan keluarga dan orang awam.
Sarimah Gapar