Saturday, August 20, 2022
23.9 C
Brunei

Sokongan majoriti perlu demi selamatkan 2 juta nyawa

-

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang diusahakan sejak lebih sedekad lalu, pada masa ini, sedang dikupas oleh ahli Dewan Rakyat Malaysia, dan persetujuan majoriti mereka diperlukan untuk pelaksanaannya demi menyelamatkan dua juta nyawa rakyat menjelang 2040.

Jika diluluskan, Malaysia bakal melakar sejarah dengan melahirkan Generasi Penamat melalui strategi Generational End Game (GEG) yang melarang individu yang lahir pada dan selepas 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Disifatkan oleh kerajaan sebagai agenda paling mustahak kerana mampu mengurangkan kematian akibat penyakit berkaitan tabiat merokok, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berulang kali menegaskan kepentingan undang-undang itu bagi rakyat dan negara.

“Jika diluluskan dan pelaksanaan GEG berjaya, kita dapat elakkan dua juta kematian. Tidak banyak rang undang-undang di negara ini yang boleh menyelamatkan nyawa sebegitu banyak (dan) sebab itu, saya merayu ahli-ahli Parlimen bersama-sama meluluskan rang undang-undang ini,” katanya semasa temu bual khas mengenai RUU tersebut bersama media di Putrajaya, Jumaat lepas.

Antara lain, undang-undang itu memperuntukkan individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok, boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Bagi mereka yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda hingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat kelmarin. –Bernama
Ketua Sektor Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan. –Bernama
Kepentingan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dijangka menyelamatkan dua juta nyawa penduduk Malaysia.

Beban rawatan tinggi

Menurut Khairy, kerajaan menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi untuk rawatan akibat komplikasi merokok berbanding hasil yang diperoleh daripada industri itu.

Pada 2020 sahaja, kerajaan membelanjakan RM6.21 bilion bagi rawatan penyakit akibat komplikasi merokok dan dijangka meningkat kepada RM8.77 bilion menjelang 2030. Kos rawatan bagi seorang pesakit rokok elektronik (vap) atau Vaping Associated Lung Injury (EVALI) pula melebihi RM150,000 untuk 12 hari kemasukan hospital dan dianggar berjumlah RM369 juta bagi merawat 2,445 orang menjelang 2030.

Pada temu bual khas itu juga Khairy berkata kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk meneliti keberkesanan undang-undang tersebut selepas pelaksanaannya, selain memberi jaminan semakan semula selepas 10 tahun dikuatkuasakan.

Sementara itu, Ketua Sektor Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan ketika mengulas lanjut strategi GEG tersebut kepada Bernama, berkata RUU berkenaan amat kritikal bagi negara demi mengawal kemudaratan produk tembakau yang telah mengakibatkan kematian lebih lapan juta orang di seluruh dunia, termasuk kira-kira 27,000 orang di Malaysia, setahun.

Selain itu, undang-undang berkenaan juga perlu bagi mengawal selia penjualan produk rokok elektronik dan vap yang selama ini tidak dikawal di negara ini.

“Semua kawalan yang digariskan di bawah RUU ini akan dapat mengurangkan peratusan (mereka yang) merokok, dan impaknya nanti akan dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan negara, terutama bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh komplikasi tabiat merokok termasuk rokok elektronik dan vap iaitu penyakit EVALI,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini rokok elektronik dan vap tidak dapat dikawal menerusi Akta Makanan 1983 kerana akta itu hanya meliputi penggunaan produk merokok berasaskan tembakau sedangkan vap dan rokok elektronik menggunakan cecair bukan tembakau.

Kesan jika tidak diluluskan

Jelas beliau, jika RUU itu gagal diluluskan, impaknya ialah pendedahan amalan merokok kepada kumpulan kohort GEG selepas mereka berumur 18 tahun.

Memetik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, Dr Noraryana berkata peratusan merokok dalam kalangan remaja berumur 18 tahun (iaitu had umur tidak lagi terikat dengan larangan merokok) adalah tinggi.

“Dianggarkan sebanyak 24.49 peratus remaja berumur 18 tahun berbanding dengan kohort sebelumnya (15 hingga 17 tahun) iaitu hanya 7.7 peratus, merokok. Daripada jumlah itu, 22.78 peratus menggunakan rokok tembakau. Bagi penggunaan rokok elektronik pula, (sebanyak) 12.31 peratus remaja berumur 18 tahun telah menggunakan rokok elektronik berbanding lima peratus kohort sebelumnya (15 hingga 17 tahun),” katanya.

Kesan lain ialah bilangan kematian pramatang akan meningkat. Ketika ini, menurut Malaysian Factsheet The Tobacco Atlas 2019, bilangan kematian pramatang dianggarkan 27,000 setahun.

Mengulas syor Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen agar GEG ditangguhkan selama tiga tahun, beliau berkata jika syor itu diterima, jumlah kematian akan meningkat kepada 81,000 orang dalam tempoh tiga tahun berkenaan.

“Ini belum dikira jangka masa tambahan untuk membuat usul dan dibentangkan di Parlimen,” tambah beliau.

Kesan kepada negara pula ialah daripada segi produktiviti kerana kehilangan sumber manusia pada peringkat usia produktif, kata Dr Noraryana.

“Penyusutan kualiti kehidupan akibat kesan komplikasi penyakit yang dihadapi akan memberikan kesan kepada produktiviti sesebuah negara. Jumlah masa bekerja yang terjejas termasuk masa yang digunakan untuk merokok ketika bertugas juga perlu diambil kira.

“Quality Adjusted Life Years (QALY) merupakan satu bentuk pengukuran yang digunakan untuk menganggarkan kualiti kehidupan seseorang. Kajian telah menunjukkan mereka yang merokok mengalami kemerosotan kualiti kehidupan berbanding mereka yang tidak merokok.

“Sekiranya pelaksanaan GEG ini ditangguhkan dan dibahaskan selepas tempoh tiga tahun sebagaimana syor jawatankuasa itu, maka kesan jangka panjang terhadap produktiviti negara akan berlaku,” katanya lagi. –Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -