Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Sokongan padu perlu hindari jurang

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Rakyat negara ini sangat bertuah kerana kos pemeriksaan, mengkaji dan rawatan kanser dapat diuruskan dengan kemurahan hati kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, namun masih terdapat jurang dalam ilmu, pendidikan dan tindakan terhadapnya.

    Jurang-jurang ini termasuklah dalam pengetahuan, pendidikan dan tindakan dalam mengakses pengesanan dan pencegahan awal kanser, menangani kanser pada peringkat seterusnya serta sokongan daripada komuniti yang lebih luas untuk cabaran dihadapi pesakit kanser, keluarga serta penjaga mereka.

    Perkara itu ditekankan oleh Pengarah Eksekutif Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 di Bangunan PJSC hari ini.

    Menurutnya, sepanjang dua tahun kebelakangan ini, dengan pandemik COVID-19 membelenggu negara dan global, penjagaan kanser terutamanya dalam kerja-kerja pencegahan dan saringan kanser telah terjejas teruk kerana wabak itu.

    Walau bagaimanapun, PJSC melalui Pusat Kanser Brunei (TBCC) terus komited dalam membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam usahanya mengurangkan jurang dalam isu-isu berkenaan, tambahnya.

    Dr Haji Mazrul Adimin (dua kiri) semasa melancarkan karya seni Close the Care Gap pada majlis Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 di Bangunan PJSC.
    Dr Haji Mazrul Adimin turut mengongsikan jurang yang terdapat dalam usaha menangani kanser dalam ucapannya sebelum merasmikan acara tersebut.

    Dr Haji Mazrul turut mengongsikan bahawa kanser kekal sebagai pembunuh nombor satu di negara ini sejak 10 tahun lalu dan hari ini merupakan hari sambutan dan muhasabah bagi mereka yang terselamat, hari penghargaan atas daya tahan dan keberanian mereka yang didiagnosis dengan kanser, perhimpunan sokongan bagi keluarga, kerjaya dan hari pengiktirafan bagi mereka yang berdedikasi untuk merawat dan menjaga pesakit tersebut.

    “Melalui Kesatuan untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC), pergerakan global itu telah menetapkan tema tiga tahun seterusnya dalam menangani kanser dan tahun ini adalah permulaan kempen baharu yang bertemakan Close the Care Gap,” katanya.

    “Ini adalah tahun untuk memahami dan mengiktiraf ketidaksamaan dalam penjagaan kanser di seluruh dunia, bagi membantu mengurangkan stigma dan mendengar perspektif orang yang hidup dengan kanser dan membiarkan pengalaman hidup itu membimbing pemikiran dan tindakan kita,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menekankan bahawa acara itu amat beruntung kerana berpeluang untuk dapat melihat perspektif Close the Care Gap melalui ekspresi seni oleh pesakit kanser dan mangsa yang terselamat dengan kerjasama artis lain khususnya Dato Paduka Shofry dari Rainforest Gallery dan juga Guerrilla Arkitek.

    Dato Paduka Shofry telah bekerjasama dengan PJSC tahun lalu dan telah menghulurkan sokongannya sekali lagi tahun ini dalam melatih pelanggan PJSC yang merupakan pesakit dan mangsa kanser bagi menjadikan seni sebagai satu cara untuk mengatasi dan menyembuhkan.

    “Kerjasama antara komuniti kanser dan orang ramai ini bukan sahaja memberikan pengalaman sosial yang berjalan kedua-dua arah; tetapi ia juga adalah sesi terapeutik dan penyembuhan bagi pesakit dan mangsa yang terselamat, dan kedua, pengajaran dalam kehidupan untuk kita yang lain, di mana kita belajar daripada keberanian, keyakinan dan daya tahan mereka tetapi juga merupakan peluang bagi mangsa kanser kita mendapatkan sokongan melalui pertemuan dan rangkaian dengan orang lain semasa aktiviti ini,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...