KUALA LUMPUR, 27 DIS – Peminat bola sepak Malaysia tidak sepatutnya terlalu memuja kelab luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan sokongan mereka terhadap skuad tempatan demi pembangunan sukan itu di negara ini, kata Pengarah yang juga ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto.
Katanya menerusi sokongan padu terhadap liga luar negara seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga Sepanyol dan Serie A Itali, mereka, tanpa menyedarinya, telah mengabaikan liga tempatan khususnya di peringkat akar umbi.
Pengendali berusia 53 tahun dari Argentina itu yang menetap di negara ini sejak lebih 18 tahun lalu selepas menamatkan karier bersama Pulau Pinang, berkata bagi membolehkan bola sepak tempatan membangun, peminat perlu menunjukkan sokongan kepada pasukan dan pemain dengan menonton perlawanan, termasuk liga kecil. – Bernama






























