KUALA NERUS, 7 JULAI – Beraksi di laman sendiri di hadapan lebih 11,000 orang penonton dan semangat para pemain yang mahu menang menjadi antara kunci kejayaan pasukan Terengganu FC menundukkan Kedah Darul Aman FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, kelmarin.
Skuad Penyu yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain berkata, walaupun pemain beraksi dalam ‘kepenatan’ susulan jadual perlawanan yang padat, sokongan padu peminat bola sepak seolah-olah memberi penggalak tambahan kepada TFC untuk mengejar kemenangan sekali gus melayakkan diri ke suku akhir Piala FA.
“Perjalanan yang sukar (bagi pasukan TFC) tapi dengan usaha, komitmen dan karakter para pemain yang ditunjukkan…alhamdulillah rezeki Terengganu malam ini, sukar nak gambarkan kejayaan malam ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi. Beliau bagaimanapun mengingatkan para pemainnya supaya jangan mudah berasa selesa, sebaliknya perlu terus berusaha keras untuk perlawanan akan datang.
Sementara itu, Pengendali skuad Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak berkata, anak buahnya telah berusaha keras dalam perlawanan semalam, namun akur kerana nasib tidak menyebelahi mereka.
“Mereka telah cuba yang terbaik… Kita tidak boleh jangka penyerang akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Pemain saya adalah pejuang…tugas saya adalah meningkatkan kembali moral mereka,” katanya. – Agensi