Sokongan terhadap Moon berkurang

SEOUL, 4 Mac – Kadar sokongan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menurun kepada 49.9 peratus selepas sidang pertemuan kali kedua antara pemimpin tertinggi Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berakhir tanpa sebarang perjanjian, menurut petunjuk tinjauan mingguan yang disiarkan hari ini.

Berdasarkan tinjauan Real-meter, sokongan terhadap Moon menurun 1.6 peratus mata minggu ini kepada 49.4 peratus pada minggu lalu, berlegar sekitar 50 peratus buat empat minggu berturut-turut.

Ia berlaku selepas sidang pertemuan kedua antara Kim dan Trump di ibu negara Vietnam, Hanoi gagal mencapai perjanjian sekalipun kedua-dua pihak bersetuju untuk terus mengadakan rundingan mengenai keamanan dan penamatan nuklear di Semenanjung Korea.

Manakala sokongan terhadap Parti Demokratik yang dipimpin Moon menurun 2.1 peratus mata kepada 38.3 peratus minggu lalu.

Sementara itu, parti pembangkang utama konservatif, Parti Kebebasan Korea telah menyaksikan peningkatan sokongan terhadap parti itu kepada 28.8 peratus minggu lalu berikutan satu konvensyen yang memilih bekas Perdana Menteri Hwang Kyo-ahn sebagai ketua parti dalam konvensyen parti di seluruh negara.

Parti konservatif kecil, Parti Future Bareun menang 7.3 peratus sokongan, sementara Parti Keadilan, dan Parti Demokrasi dan Keamanan, masing-masing meraih 6.9 peratus dan 2.7 peratus sokongan minggu lalu.Keputusan tersebut adalah berdasarkan kepada satu tinjauan terdiri daripada 2,011 yang dijalankan bermula Isnin hingga Khamis yang lalu. – Xinhua