Sokongan terus diberikan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dalam sama-sama memainkan peranan dan memberikan sokongan, pihak syarikat swasta dan individu terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, sumbangan sebanyak 4,000 kit ujian pantas antigen (ART) telah diterima daripada Medicorp Sdn Bhd manakala itu, Tabung Bantuan COVID-19 2021 menerima sumbangan sebanyak $3,000 daripada Koperasi Usahajaya Pekira Bhd (KUPB).

Sumbangan-sumbangan berkenaan disampaikan dalam majlis penyampaian yang berlangsung di Ibu Pejabat, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, sumbangan berkenaan telah diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dengan sumbangan daripada KUPB disampaikan oleh Pengerusi KUPB, Pengiran Haji Sharifuddin. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi KUPB, Dato Haji Adnan.

Sementara itu, sumbangan daripada Medicorp Sdn Bhd disampaikan oleh wakil daripada syarikat berkenaan.

Kenyataan turut menyatakan bahawa seorang penyumbang telah menghulurkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan pada 2 November lalu.

Penderma berkenaan ialah Yuki yang menyumbangkan biskut, pensanitasi tangan dan mi segera.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan daripada KUPB yang diserahkan oleh Pengiran Haji Sharifuddin.
Wakil Medicorp Sdn Bhd menerima sijil penghargaan daripada Haji Maswadi.