Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    ‘Solar mama’ jana elektrik komuniti luar bandar

    YAOUNDE – Di bawah terik sinar matahari, kelihatan Eposi Njoh Monyengi, 44, sibuk bekerja di atas bumbung sebuah rumah di Tiko, di wilayah Barat Daya Cameroon.

    Dalam masa kurang sejam, dia berjaya memasang panel suria yang membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada komuniti terpencil di seluruh Cameroon yang telah menjadi minat Monyengi.

    “Matlamat utama saya adalah untuk menerangi masyarakat,” kata ibu kepada tiga orang anak, yang juga merupakan wanita pertama yang memasang dan menyelenggara panel suria dalam komunitinya.

    Di Tiko, Monyengi telah mendapat penghormatan untuk kerjanya dan suka dirujuk sebagai ‘solar mama’.

    Pada 2019, dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Projek Pembangunan Wanita Luar Bandar, Monyengi mengembara ke India, di mana dia belajar memasang dan menyelenggara panel suria selama enam bulan.

    Sejak kembali ke Cameroon, dia telah memasang panel suria pada lebih 200 isi rumah, memberi bantuan kepada lebih 600 orang.

    Eposi Njoh Monyengi membaiki panel suria di atas bumbung sebuah rumah di Tiko, Cameroon. – Xinhua
    Eposi Njoh Monyengi dan pasukannya dalam perjalanan untuk memasang panel suria di Tiko. – Xinhua
    Gambar menunjukkan panel suria yang dipasang di perkarangan sekolah di Tiko. – Xinhua
    Eposi Njoh Monyengi memperkenalkan alat yang digunakan untuk memasang panel suria kepada pelatih di bengkelnya. – Xinhua
    Kelihatan Eposi Njoh Monyengi membantu warga memperbaiki lampu. – Xinhua

    Kerja Monyengi telah memberikan inspirasi dan harapan di kalangan jiran, rakan dan keluarganya di Ombe, kampung asalnya yang juga dikenali sebagai Bamukong, di pinggir Tiko.

    Sinar harapan
    Selama lebih 50 tahun, kampung dengan kira-kira 400 penduduk itu tidak mempunyai bekalan elektrik.

    Pada Mei tahun lalu, Monyengi membawa motosikal ke tebing Sungai Ombe dan kemudian menyeberangi sungai menaiki sampan untuk sampai ke kampung terpencil itu.

    Dalam tiga bulan, dia memasang panel suria di 54 isi rumah. Apabila wartawan Xinhua melawat kampung itu, kampung itu penuh dengan kehidupan dan tenaga, dan muzik terdengar dari bar dalam masyarakat agraria.

    “Kami sangat gembira,” kata Ignatius Tamala, yang dilantik Monyengi sebagai pengerusi jawatankuasa suria kampung itu.

    “Anak-anak belajar dengan baik, sehingga 10 atau 11 malam. Mereka belajar dengan selesa kerana ada bekalan elektrik,” kata bapa kepada lima orang anak yang berusia 47 tahun itu.

    Ketika matahari terbenam dan kegelapan mula menyelubungi kampung itu, Gladys Fienyam, 49, menghidupkan mentol surianya dan mula memanggang dan menjual ikan.

    Dia sudah memanggang dan menjual ikan selama lapan tahun. Dahulu, jika menjelang malam, dia terpaksa berhenti bekerja, tetapi kini Fienyam boleh memanggang ikan selama mana yang dia mahu.

    “Saya amat gembira. Saya tidak menggunakan api lagi. Saya mempunyai lebih ramai pelanggan sekarang dan kebanyakannya kerana adanya cahaya,” katanya.

    Di seluruh perbandaran Tiko, penduduk kampung berkata taraf hidup mereka telah meningkat dengan ketara berkat akses kepada tenaga suria.

    Kisah kejayaan Monyengi adalah penggalak kepada usaha menentang perubahan iklim yang telah menjejaskan kehidupan orang ramai terutamanya di Afrika di mana kemarau, hujan tidak menentu, banjir menjadi lebih kerap.

    Sejak 2015, Cameroon telah menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai keutamaan, terutamanya untuk elektrifikasi luar bandar.

    Pemerkasaan wanita
    Tetapi projek itu bukan hanya tentang menjadi hijau. Monyengi telah menjadikan tugas untuk melatih lebih ramai ‘solar mama’.

    “Apabila awda memperkasakan wanita, awda telah memperkasakan seluruh negara,” katanya.

    “Apabila orang melihat saya, mereka sangat teruja kerana tidak setiap wanita boleh melakukannya. Hanya kegembiraan mereka mendorong saya untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mereka.”

    Selepas kehilangan pekerjaan sebagai pekerja ladang, Cecilia Otto, 55, kehilangan semangat dan mula bergelut untuk mencari rezeki sebagai petani.

    “’Solar mama’ meyakinkan saya bahawa saya harus belajar memasang panel suria,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

    “Saya berasa berat hati (pada mulanya) tetapi akhirnya saya mula menerimanya. Hari ini saya gembira kerana saya dapat melakukannya.”

    Otto adalah antara lebih 50 wanita yang dilatih oleh Monyengi untuk memasang dan menyelenggara panel suria di komuniti luar bandar. Dia kini kerap menemani Monyengi untuk memasang panel. Mereka turut disertai Joan Nkweti, 61, pesara penjawat awam dan balu anak empat.

    “Apabila saya mendengar tentang pemasangan suria, saya sangat berminat kerana ia membuatkan saya melaksanakan apa yang saya ingin lakukan sebagai seorang belia,” katanya.

    “Saya sangat gembira saya mencapai sesuatu pada usia ini,” kata Nkweti.

    “Saya boleh pergi dan memasang panel suria tanpa bantuan sesiapa, kerana latihan itu mengajar awda apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

    “Awda berasa sangat berpuas hati dan berasa sangat gembira kerana telah mencapai sesuatu,” kata Nkweti.

    Semasa dunia menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia, Monyengi berharap kerajaan dan NGO antarabangsa akan membantunya mengembangkan projek itu kepada komuniti lain. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...