KOTA KINABALU, 24 MEI – Kapasiti tenaga elektrik dijana melalui solar di Sabah setakat ini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW) dan projek untuk menambah kapasiti berkenaan sedang dilaksanakan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penjanaan 50MW tenaga itu beroperasi sejak 2018 terletak di ladang solar Kudat dan 34MW adalah Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim Feed-in Tariff melibatkan 796 pepasangan jenis individu, komersial dan komuniti.
Beliau berkata, kapasiti Solar Berskala Besar yang sedang dalam pelaksanaan adalah 62MW dan dijangka siap pada tahun 2024; masing-masing berkapasiti 6MW di Beaufort, Kunak (5MW), Sandakan (20MW), Tawau (16MW) dan Labuan (15MW).
“Oleh itu jumlah besar tenaga solar yang telah dan akan beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146MW atau 11 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan seluruh grid (elektrik) di Sabah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik).
Yong bertanya, berapakah jumlah tenaga elektrik daripada solar yang kini dijana di Sabah dan apakah sasaran penghasilan tenaga elektrik daripada solar yang diperlukan di Sabah.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, menurut maklumat daripada Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) yang dirangka Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 2021, potensi penjanaan elektrik melalui solar di Sabah adalah terbaik di Malaysia iaitu sebanyak 99,400MW.
Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada jumlah kesemua keluasan tanah tidak dibangunkan sebanyak 1,887km persegi atau sekitar 2.6 peratus daripada jumlah keluasan tanah Sabah bagi reka bentuk solar terpasang di permukaan tanah atau jenis ground mounted. – Bernama
