Solat cegah kemungkaran

Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Untuk mencegah perbuatan keji dan mungkar, solat hendaklah dilakukan dengan hati benar-benar khusyuk, ikhlas dan menyerahkan diri hanya kerana Allah, menutup aurat dalam dan luar solat dengan sempurna dan memahami bacaan solat.

Apabila solat bererti mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjadikan setiap amalan yang dilakukan hanyalah mengharapkan keampunan dan redha-Nya, mengabdikan diri kepada kepada-Nya dan perasaan takut akan azab-Nya yang tidak terperi. Perasaan ini yang akan menjadikan diri jauh daripada perkara-perkara keji dan mungkar. Solat juga punca ketenangan jiwa.

Perkara ini antara yang ditekankan dalam tazkirah sempena Program Keagamaan Senegara pertama bagi tahun ini yang membawakan tema ‘Solat Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar’.

Program bulanan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam ini diadakan di seluruh negara dengan beberapa sekolah tumpuan termasuk Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Sekolah Ugama Sungai Besar bagi Daerah Brunei dan Muara, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain di Daerah Tutong, Sekolah Ugama Sungai Liang di Daerah Belait, dan Sekolah Ugama Sultan Hashim Batu Apoi di Daerah Temburong.

Di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, seramai 266 orang murid dari Darjah Pra hingga 6 telah menghadiri program berkenaan yang diadakan di bilik ibadat sekolah tersebut. Turut hadir ialah Guru Besar, Hajah Noraisah binti Haji Musa bersama guru-guru sekolah berkenaan. Tazkirah di sekolah berkenaan telah disampaikan oleh penolong guru kanan pentadbiran sekolah tersebut, Awang Johan bin Moktal.

Sementara itu, 174 orang murid Sekolah Ugama Sungai Liang menghadiri program berkenaan di mana tazkirah telah disampaikan oleh Guru Akademik Kanan, Awang Abdul Aziz bin Sulong.

Selain tazkirah, program berkenaan turut diisi dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Awal Tahun Persekolahan serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Para pelajar Sekolah Ugama Sungai Liang semasa menghadiri Program Keagamaan Senegara pertama tahun ini.
Para pelajar tekun mendengar tazkirah yang diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.