Solat cegah kemungkaran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Bersempena Sambutan Israk dan Mikraj tahun 1440H/2019M, Persatuan Basmi Dadah Negara Brunei Darussalam (BASMIDA) hari ini telah mengadakan majlis ceramah bagi memperingati sambutan berkenaan yang diadakan di Rumah BASMIDA, Anggerek Desa.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Di-Pertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Naib Yang Di-Pertua BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah selaku pengerusi majlis serta para ahli BASMIDA dan jemputan lainnya. Sementara itu, ceramah bertajuk ‘Solat Menjauhi Maksiat’ telah pun disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Datin Hajah Masni, beliau antara lain menjelaskan mengenai kepentingan peristiwa Israk dan Mikraj di mana ibadat sembahyang fardu lima waktu mula diperintahkan.

Menurutnya, pelbagai hikmah dan kelebihan dapat diperoleh dengan melaksanakan Rukun Islam yang kedua itu seperti menjadi benteng daripada anasir-anasir negatif, mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar selain dapat menyucikan hati serta dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Majlis tersebut turut diselajurkan dengan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Forum BASMIDA 2018, penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta Kursus Pengukuhan Islam Tashawwuf dan penyampaian pakaian seragam kepada Kumpulan Dikir Lelaki BASMIDA.

Bagi memberkati majlis berkenaan, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah pun dipimpin oleh Awang Shahrin bin Haji Matnor.

Antara yang hadir mendengarkan ceramah pada majlis berkenaan.