Solat Fardu Jumaat kedua lebih teratur

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani & Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Hari ini Negara Brunei Darussalam telah sempurna menunaikan solat Fardu Jumaat bagi minggu kedua selepas sekatan dilonggarkan.

Dalam usaha untuk menambahbaikkan lagi pengendalian solat Fardu Jumaat, masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara telah dibuka lebih awal iaitu pada pukul 11:30 pagi, setengah jam lebih awal dari sebelumnya.

Segala urusan dalam mengendalikan para jemaah untuk masuk ke masjid telah diuruskan oleh ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berjalan dengan baik dan lancar.

Menurut Haji Sohaili, salah seorang jemaah yang berpeluang untuk menunaikan solat Fardu Jumaat, ketika ditemu bual berkata, “Alhamdulillah rata-rata para jemaah di Masjid Kampung Salambigar mengikuti arahan yang telah ditetapkan seperti membawa sejadah sendiri, memakai penutup mulut dan hidung dan mengimbas kod QR BruHealth sebelum masuk ke masjid.

“Namun ada sesetengah jemaah masih menganggap panduan memakai penutup muka dan hidung tidak penting, dan ini sangat mengecewakan kerana ia adalah antara panduan yang wajib diikuti ketika ini,” tambahnya.

Tinjauan Media Permata di salah sebuah masjid di Daerah Brunei dan Muara juga mendapati beberapa orang jemaah masjid tidak menggunakan penutup mulut dan hidung semasa di dalam masjid dan hanya memakainya ketika hendak masuk masjid sahaja, manakala sebilangannya pula hanya menutup mulut sahaja.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama telah memberigakan panduan dan tatacara ketika menghadiri solat Fardu Jumaat berjemaah di masjid dengan membawa sejadah mereka sendiri, memastikan jemaah dalam keadaan sihat, memakai penutup mulut dan hidung, sedia berwuduk dari rumah dan memastikan Kod QR berwarna hijau. Ini adalah bagi menghindari jangkitan daripada kalangan jemaah yang menunaikan solat Fardu Jumaat di masjid dan juga memastikan keselamatan dan keselesaan bersama.

Dengan itu, orang ramai terutama mereka yang beragama Islam serta dalam keadaan sihat, hendaklah mengikuti panduan yang telah ditetapkan dan sentiasa mengikut arahan ketika berada di dalam masjid.

Orang ramai yang mengerjakan solat Fardu Jumaat minggu ini dengan keadaan yang lebih teratur.
Jemaah yang hadir dimestikan memakai penutup mulut dan hidung sebelum memasuki masjid.
Jemaah yang ingin menunaikan solat Fardu Jumaat perlu mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki masjid.