Solat Fardu Jumaat: tidak perlu buat tempahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sebagai peralihan langkah pengurangan kawalan ke peringkat empat, kapasiti ruang bagi jemaah bagi menunaikan solat Fardu Jumaat adalah seperti biasa dengan pengurangan penjarakan dan tempahan slot bagi menunaikan solat Fardu Jumaat di semua masjid tidak lagi diperlukan.

Langkah-langkah pengurangan tersebut akan bermula pada waktu solat Fardu Subuh 3 Ogos depan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Namun beliau turut menegaskan bahawa pemakaian penutup mulut dan hidung masih dikehendaki kepada semua jemaah, manakala kanak-kanak lelaki yang berumur 12 tahun ke atas dibenarkan untuk menunaikan solat Fardu Jumaat.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa bagi peringkat keempat ini, masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dibolehkan untuk melaksanakan program dan acara lain di samping aktiviti-aktiviti yang sudah berjalan pada masa ini seperti membaca Surah Yasin, tahlil, Ratib Al-Attas, tazkirah atau kuliah, tadarus Al-Quran, bacaan surah-surah pilihan dan kelas-kelas agama. Di samping itu, pelaksanaan aktiviti-aktiviti takmir ini dibolehkan dengan keramaian jemaah tidak melebihi 100 orang dalam tempoh dua jam.

Pada tahap keempat ini juga, kelas Al-Quran dan Muqaddam pada setiap hari Jumaat kini mula dibenarkan tetapi dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan mengambil kira nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga menyentuh mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha, di mana Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 1 Ogos.

Sehubungan dengan itu, solat Sunat Hari Raya Aidiladha akan diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara. Jemaah yang akan menghadiri solat sunat itu nanti dihendaki untuk membuat tempahan slot menerusi aplikasi BruHealth serta mematuhi arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam hal ini mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama padu pelbagai pihak terutama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, persatuan-persatuan, ahli jawatankuasa takmir masjid, belia dan sukarelawan serta orang ramai khasnya jemaah masjid di negara ini.

Sembahyang Jumaat kini tidak perlu ditempah, manakala aktiviti takmir, kelas muqaddam dan Al-Quran serta lain-lainnya dibenarkan setelah pelonggaran memasuki tahap keempat, namun slot solat sunat Aidiladha perlu ditempah menggunakan aplikasi BruHealth. – Gambar oleh Muiz Matdani