Solat Jumaat: Hadir lebih awal, elak kesesakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Dengan pembukaan masjid bagi solat Jumaat berjemaah bermula 29 Mei ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengeluarkan panduan sembahyang berjemaah di masjid bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut panduan itu, jemaah digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan semasa membuat imbasan kod yang disediakan di mana masjid akan dibukakan pada pukul 12 tengah hari sehingga 1:30 petang.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendaftar masuk menggunakan aplikasi BruHealth serta mendapatkan kelulusan kod hijau, berwuduk dari rumah sebelum ke masjid, memakai penutup mulut dan hidung, membawa dan menggunakan tikar sembahyang sendiri, mengimbas kod QR kepada petugas, membuat pemeriksaan suhu badan, mensanitisi tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman, menjarakkan antara saf semasa sembahyang berjemaah, menyegerakan sembahyang berjemaah dan segera bersurai selepas sembahyang berjemaah dilaksanakan.

KHEU dengan mengikut panduan Kementerian Kesihatan juga melarang mereka yang mengalami tanda-tanda jangkitan dan beri-siko tinggi, kanak-kanak di bawah 15 tahun dan perempuan hadir ke masjid, selain itu, dilarang melebihi kouta yang ditetapkan sesebuah masjid, bersalaman dengan jemaah lain dan berada lama di masjid.

Jabatan Hal Ehwal Masjid juga tidak menggalakkan untuk membuat sebarang aktiviti masjid seperti tidak menganjurkan sebarang perkumpulan seperti ceramah, tazkirah dan lain-lain aktiviti buat sementara waktu.

Lawatan pelawat-pelawat ke masjid juga tidak dibenarkan untuk sementara, menyegerakan pengurusan jenazah dan mengehadkan kehadiran ahli keluarga dan tidak membenarkan mengadakan sebarang jamuan, dan jika perlu bolehlah dengan menyediakan makan secara bawa pulang.