Solat Jumaat: Masjid akan dibuka seawal 11 pagi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pada hari pertama pembukaan semula masjid dan sembahyang fardu yang lain semasa Fasa Peralihan 19 November ini, langkah pengawalan masjid turut dibantu oleh beberapa sukarelawan seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (ABDB), belia dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), majlis perundingan mukim (MPM), majlis perundingan kampung (MPK) serta jawatankuasa takmir masjid dan belia masjid.

Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali semasa temu bual garis pandu KHEU seterusnya mengingatkan, slot tempahan untuk solat Jumaat dibuka esok (17 November) bermula pukul 9 pagi dan orang ramai diharap akan membuat tempahan slot lebih awal selain memenuhi kriteria yang digariskan.

Mengenai jumlah kuota, beliau berkata, ia akan dilakukan seperti semasa fasa pertama de-escalation pada gelombang pertama COVID-19 di mana penyusunan jarak antara jemaah adalah mengikut sejadah bersaiz besar dan akan disusun mengikut susunan dan dengan kapasiti 50 peratus mengikut ruang masjid masing-masing.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan jemaah untuk datang ke masjid di mana slot tempahan dibuat.

“Walaupun jemaah masih boleh menukar pilihan masjid mereka, tapi tempahan perlu dibuat sebelum hari Jumaat bukan pada hari sebenar.

“Sekiranya mereka tidak dapat menempah masjid pilihan, mereka masih boleh menempah slot untuk masjid lain di luar kawasan mereka dengan syarat masih ada kuota dan kapasiti masih belum diisi,” tambah beliau.

Sehubungan itu, sebagai persiapan dan memberi laluan mudah kepada jemaah, masjid akan dibuka seawal 11 pagi bagi memastikan proses masuk berjalan lancar.

“Pada pembukaan masjid nanti, sukarelawan atau mereka yang bertugas akan menyemak aplikasi BruHealth jemaah untuk memastikan warna kod BruHealth, status vaksinasi, mengikut SOP,” jelasnya.

Orang ramai juga digalakkan untuk bersurai sejurus selepas solat Jumaat atau fardu bagi memastikan keselamatan jemaah dan membolehkan sanitasi masjid dilaksanakan.

Pengiran Haji Haslin semasa sesi temu bual berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.