Solat Jumaat mulai 29 Mei

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Dengan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan keadaan semasa berhubung wabak COVID-19 di negara ini serta tertakluk kepada ketiadaan sebarang kecemasan yang mungkin berbangkit, Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan bahawa masjid-masjid, surau dan balai ibadat akan mula dibukakan bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat sahaja mulai 29 Mei.

Walau bagaimanapun, pembukaan masjid, surau dan balai ibadat adalah tertakluk kepada sebarang perkembangan mengenai wabak COVID-19 ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman mengumumkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Ugama Islam (MUIB) mengenai perkara berkenaan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin mengumumkan bahawa pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, penutupan sementara masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat seluruh negara yang akan berakhir pada malam ini dilanjutkan selama 24 hari lagi mulai 5 hingga 28 Mei depan.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat kerana masih ada kekhuatiran mengenai bahaya jangkitan COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika berucap semasa sidang media berkenaan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

“Maka ia sesuai dengan Hukum Syarak seperti yang difatwakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan bil. 02/2020 dan dengan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan.”

Menurut beliau, ketetapan penutupan sementara itu dibuat dalam Mesyuarat MUIB ke-10 pada 2 Mei lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua umat Islam untuk sama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah SWT supaya hajat murni untuk beribadat hanya kepadaNya sambil mensyiarkan Islam, ugama suci pegangan hidup raja dan majoriti rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam ini.

Ke arah persiapan itu, tambah beliau, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Dakwah Islamiah dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei akan menyiarkan video khas Panduan Sembahyang Berjemaah di Masjid bagi Membendung Penularan Wabak COVID-19 yang mengandungi tatacara dan panduan untuk orang ramai yang datang ke masjid.

Berhubung dengan pembayaran Zakat Fitrah dan Harta di bangunan utama kementerian-kementerian yang akan dijalankan oleh amil-amil daripada kalangan pegawai dan kakitangan MUIB, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa ia akan dilaksanakan pada setiap Isnin dan Rabu bermula 13 Mei ini dari jam 11:30 pagi hingga 2 petang.

Lokasi pembayaran adalah sepertimana yang akan ditetapkan oleh kementerian-kementerian berkenaan dengan mematuhi aturan-aturan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, menyentuh mengenai Sambutan Memperingati Nuzul Al-Quran pada tahun ini, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sambutan peringkat negara yang lazimnya dibuat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas adalah ditiadakan.

Sebaliknya, ia akan digantikan dengan Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul Al-Quran Tahun 1441 Hijrah secara rakaman yang akan disiarkan pada pagi 11 Mei menerusi siaran radio dan televisyen Brunei.

Manakala itu, menjelaskan beberapa pertanyaan orang ramai mengenai Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa ia dibenarkan untuk dilaksanakan dalam kalangan keluarga di rumah masing-masing sama ada secara persendirian atau berjemaah sepertimana Sembahyang Tarawih dengan mengikut panduan dan nasihat Kementerian Kesihatan.

“Jika dilakukan secara berjemaah, maka sunat hukumnya untuk dibacakan khutbah. Oleh yang demikian, teks khutbah yang pendek dan ringkas akan disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid,” tambah beliau.