Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solat Jumaat pertama patuhi SOP

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Umat Islam di negara ini telah menunaikan sembahyang Jumaat buat pertama kalinya sejak hampir dua bulan masjid ditutup bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

    Dengan berpandukan syarat-syarat memasuki masjid dikenakan, ia sekali gus mengubah kebanyakan tradisi dan amalan di masjid-masjid yang biasanya bersembahyang dengan bersentuhan bahu ke bahu, berjabat tangan dan berpelukan sebaik solat selesai ditunaikan.

    Pelaksanaan garis pandu bagi jemaah memerlukan mereka bersembahyang dengan jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain tanpa bersalaman, dan hanya mendengar khutbah ringkas.

    Malah tiada kanak-kanak, perempuan serta mereka yang kurang sihat dibenarkan untuk menyertai solat Jumaat kali ini, dengan polis dan tentera bertugas memastikan protokol kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung serta membawa tikar sembahyang sendiri dipatuhi, peraturan yang sama diadaptasi di negara-negara lain.

    Menurut statistik, lebih 24,000 jemaah telah mendaftar melalui BruHealth untuk menunaikan sembahyang Jumaat hari ini.

    Para jemaah mematuhi penjarakan sosial ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
    Jemaah mematuhi penjarakan sosial ketika menunaikan solat Jumaat. – Gambar serahan MRSB
    Pemeriksaan suhu badan jemaah sebelum memasuki masjid. – Gambar serahan MRSB
    Jemaah yang hadir perlu mengimbas kod QR BruHealth yang diperiksa oleh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebelum memasuki masjid.

    Menurut jemaah yang ditemui, rata-rata mereka merasa bersyukur kerana dapat menunaikan sembahyang Jumaat berjemaah di masjid hari ini setelah sekian lama menggantikan sembahyang Jumaat dengan solat Zohor di rumah.

    Menurut sebilangan jemaah, pengurusan pemeriksaan suhu badan dan penempatan tempat duduk jemaah berjalan lancar, walaupun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

    Bagaimanapun, terdapat juga jemaah yang kecewa kerana terpaksa berpatah balik setelah sebahagiannya tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dan belum memahami pendaftaran slot Jumaat menerusi BruHealth.

    Salah seorang kakitangan Masjid Kampung Kupang yang ditemui iaitu Awang Muhamad Shahrum bin Haji Sabtu juga memberi penjelasan positif mengenai sambutan jemaah yang hadir dan segala persiapan dan perancangan hal ehwal masjid juga dipermudahkan.

    Menurutnya lagi, situasi kemasukan jemaah, semuanya mengikut disiplin dan peraturan yang telah digariskan dalam suasana yang begitu tenang dan terkawal, yang mana rata-rata jemaah menggunakan penutup mulut dan hidung, membawa sejadah sendiri dan membuat imbasan penilaian melalui dalam aplikasi BruHealth.

    Sementara itu, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar turut membuka pintunya untuk penduduk sekitarnya bagi orang ramai menunaikan sembahyang Jumaat berjemaah.

    Sebelum memasuki masjid tersebut, ahli Jawatankuasa Kuasa Takmir MRSB telah melaksanakan persiapan rapi dengan mengalu-alukan kehadiran ratusan jemaah dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dari Kementerian Kesihatan untuk dipatuhi termasuk aspek kebersihan, keselamatan dan penjarakan sosial.

    Apa yang pasti jemaah dan kalangan ahli kariah amat teruja dan merasa amat bersyukur selepas sekian lama tidak dapat menunaikan solat Jumaat.

    Sebelumnya, penutupan sementara masjid disebabkan pandemik COVID-19 setelah menerima saranan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang mana penutupan itu adalah bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda