Solat mula dibenarkan di Masjidil Haram

MEKAH, ARAB SAUDI, 19 OKT – Buat kali pertama selepas tujuh bulan, Arab Saudi membuka Masjidil Haram kelmarin untuk ibadat solat selain memperluaskan ibadat umrah bagi menampung 15,000 jemaah susulan penurunan kes COVID-19 di negara itu.

Warganegara dan penduduk di Arab Saudi yang memakai penutup mulut dan hidung dibenarkan untuk bersolat di dalam Masjidil Haram dengan pelaksanaan langkah kesihatan yang ketat.

“Semua penduduk kini boleh menunaikan solat Subuh hari ini di Masjidil Haram ketika pihak berkuasa mulai melaksanakan fasa kedua penyambungan umrah secara beransur-ansur,” lapor Saudi Press Agency.

Awal bulan ini, Arab Saudi membenarkan sehingga 6,000 warganegaranya dan penduduk setiap hari untuk melaksanakan umrah selepas ia dilarang sejak Mac lalu.

Fasa kedua umrah bermula Ahad dan jumlah jemaah dinaikkan sebanyak 15,000 orang, manakala seramai 40,000 orang termasuk mereka yang menjalani ibadat umrah dibenarkan untuk solat di masjid.

Bagi fasa ketiga yang bermula 1 November ini, jemaah dari luar akan diberikan permit dengan jumlah dibenarkan ialah 20,000 saja, dengan keseluruhan jemaah yang boleh melakukan ibadat solat dan umrah ialah 60,000. – AFP

Penduduk Saudi dan ekspatriat menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram di Mekah pada 18 Oktober. – AFP