Solat sunat gerhana bulan hari ini

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah memaklumkan bahawa fenomena gerhana bulan separa akan berlaku di Negara Brunei Darussalam esok bermula pukul 6:01 petang hingga 6:47 petang dan umat Islam disunatkan untuk menunaikan sembahyang sunat gerhana bulan jika sabit berlakunya gerhana.

Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengadakan sembahyang sunat gerhana bulan selepas menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada hari tersebut.

Oleh yang demikian, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi sama-sama menunaikan sembahyang sunat gerhana bulan dengan mengikut garis panduan dan tatacara yang telah ditetapkan ketika berada di masjid, surau dan balai ibadat serta mematuhi nasihat-nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) menjelaskan fenomena alam ini terjadi ketika cahaya matahari yang menuju ke bulan tertutup oleh bayangan bumi.

Peristiwa ini hanya terjadi ketika posisi matahari, bumi, dan bulan hampir membentuk garis lurus serta bulan berada dalam fasa bulan purnama.

Gerhana akan bermula pada pukul 2:02 petang waktu tempatan apabila bulan memasuki bayangan bumi separa gelap iaitu penumbra tapi Negara Brunei Darussalam hanya akan mengalami peringkat-peringkat akhir gerhana disebabkan bulan berada di bawah ufuk.

Selain itu, gerhana hanya boleh diamati sejurus bulan terbit pada jam 6:01 petang, apabila bayang bumi yang paling gelap iaitu umbra telah menutupi 56 peratus permukaan bulan jika keadaan tidak berawan.

Orang ramai boleh mengikuti penstriman langsung gerhana bulan separa di akaun media sosial PABD bermula jam 5:30 petang.

Pencerapan secara dalam talian tersebut turut disokong oleh Majlis Perundingan Kampung Penabai Kuala Tutong.

Gerhana bulan yang seterusnya boleh disaksikan di negara ini pada 8 November 2022.