TUTONG, 16 April – Sekolah Menengah (SM) Tanjong Maya,Tutong, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Bacaan Surah Yasin dan Doa Khas bagi pelajar-pelajar Tahun 8 dan 11 yang bakal menduduki Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level, IGCSE dan SPE bagi tahun 2018.
Majlis juga telah diteruskan dengan Program Celik Mata Hati yang mendengarkan ceramah oleh Penolong Kaunselor Penjara, Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.
Ceramah antaranya menyentuh mengenai pandangan manusia yang terbahagi kepada empat iaitu pandangan mata, akal, nafsu dan mata hati.

Untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan, mata hati perlu dicelikkan dan hati hendaklah sentiasa mengingati dan bertawakal kepada Allah.
Acara berkenaan juga telah digabungkan dengan Majlis i-Vision di mana para ibu bapa dan penjaga pelajar telah berkesempatan menyatakan kata-kata motivasi dan harapan untuk pencapaian anak-anak mereka yang akan mengambil Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level, IGCSE dan SPE dengan menulis di atas kanvas yang disediakan untuk setiap kelas.