Solomon rancang bawa pulang pelajar terkandas di Manila

HONIARA, 17 SEPT – Pulau Solomon berkata ia akan membawa pulang ratusan pelajar yang terkandas di Filipina meskipun bimbang kepulangan mereka akan menjejaskan status bebas koronavirus luar biasa di negara Pasifik itu.

Lebih 400 pelajar terkandas dengan ramai mengadu mengalami keadaan yang sukar, sejak negara pulau itu menutup sempadannya pada Mac.

Pengembalian mereka akan memeningkan para pegawai di salah sebuah daripada sebilangan kecil negara yang bebas COVID-19 di dunia, ketika Filipina mencatatkan lebih 260,000 kes.

Perdana Menteri Manasseh Sogavare berkata semua pelajar – termasuk 12 yang telah diuji positif virus itu akan dibawa pulang dan para pegawai sedang bekerjasama dengan Palang Merah.

“Kami tidak sabar-sabar untuk menyambut kepulangan pelajar kami, dan apa yang pasti, Pulau Solomon akan tetap bebas COVID-19,” katanya dalam ucapan di televisyen pada Rabu.

Penerbangan dari Manila ke Honiara dirancang pada 27 dan 29 September. Penerbangan ketiga pada 24 Oktober akan membawa para pelajar yang diuji positif, selepas mereka pulih dan menjalani kuarantin. – AFP