Solskjaer dapat sokongan penuh

LONDON, 17 Mei – Naib pengerusi eksekutif Manchester United, Ed Woodward berikrar bahawa Ole Gunnar Solskjaer akan mendapat sokongan dalam pasaran perpindahan meskipun musim kelab itu berakhir dengan kekecewaan.

Solskjaer hanya dilantik secara kekal pada bulan Mac tetapi sudah berada di bawah tekanan selepas United hanya menang dua kali dari 11 perlawanan dalam semua persaigan.

“Meskipun beberapa minggu kebelakangan ini agak mengecewakan, kami teruja untuk mengesahkan pelantikan Ole bagi kontrak tiga tahun.” kata Woodward pada satu sidang para pelabur ketika United mendedahkan hasil kewangan suku ketiga.

“Persiapan bagi musim baharu sudah berjalan dan kekuatan perniagaan kita akan membolehkan kami menyokong pengurus dan pasukanya ketika kami melihat masa depan.”

United menamatkan musim dengan ketinggalan 32 mata di belakang juara Liga Perdana, Manchester United dan gagal layak ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan di kedudukan keenam.

Solskjaer ketika menghadiri perlawanan di antara Molde dan Kristiansund di Norway. – AP

Solskjaer dengan jujurnya menyatakan bahawa United perlu pembangunan semula di Old Trafford tetapi berharap musim baharu dan kemasukan pemain akan memberikan permulaan segar buat kelab itu.

“Saya tidak sabar kerana ia adalah permulaan baharu. Kami sudah menetapkan sasaran, sejajar dengan cita-cita kami dan kami akan bekerjasama serta bersetuju bagi prinsip-prinsip tertentu,” kata Solskjaer.

“Ia selalu menjadi bulan yang penting, di mana kami perlu sama-sama bersetuju untuk bagaimana kami mahu menetapkan budaya yang tepat.”

United masih dijangka meraih keuntungan kira-kira 615 juta pound dan 630 juta pound dalam fiskal 2019, yang berakhir pada 30 Jun.

Keuntungan bagi tiga bulan sehingga akhir Mac 2019 naik sebanyak 3.4 peratus, menjadi 152 juta pound, sebahagian besarnya daripada pendapatan penyiaran Liga Juara-Juara. – AFP