Solskjaer kembali tersenyum

MANCHESTER, 11 NOV – Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan kemenangan 3-1 Manchester United ke atas Brighton dalam saingan Liga Perdana, malam tadi sebagai persembahan terbaik skuad kendaliannya musim ini.

Kemenangan kelima daripada enam perlawanan dalam semua kejohanan itu menyaksikan United kini hanya dibezakan satu mata daripada kedudukan lima terbaik liga dengan gol dijaringkan Andreas Pereira, Marcus Rashford dan jaringan sendiri Davy Propper.

Kejayaan menundukkan Brighton itu turut mengagumkan dengan Solskjaer menyenaraikan kesebelasan paling muda dalam kempen Liga Perdana musim ini dengan purata pemain di usia 23 tahun 350 hari.

Selain turut menewaskan Partizan Belgrade dalam saingan Liga Europa pertengahan minggu lalu, aura di United jelas berubah dengan mendadak.

“Saya fikir ia adalah persembahan terbaik kami pada musim ini. Mengapa ia tidak berakhir dengan lima, enam, tujuh gol, saya tidak tahu, pemain juga tidak tahu,” kata Solskjaer.

“Ia amat menggembirakan, menghiburkan dan hebat untuk ditonton yang mereka turut menikmati perlawanan itu. Sejak rehat antarabangsa terakhir kami sudah meraih lima kemenangan dan kami mempunyai banyak jawapan mengenai apa yang kami cuba lakukan.

“Jika mereka tidak memperoleh keyakinan daripada kemenangan ini, saya tidak tahu apa yang ingin diperkatakan kepada mereka.”

Selepas membuka tirai jaringan menerusi Pereira pada minit ke-17 berpunca serangan balas pantas, United menggandakan kelebihan menerusi jaringan sendiri Propper dua minit berselang.

Sekali pun pelawat tidak mengalah apabila merapatkan jurang menerusi tandukan Lewis Dunk pada minit ke-64, penyerang England, Rashford mengembalikan kelebihan dua gol buat United apabila meledak gol pada minit ke-66. – AFP

Reaksi Solskjaer ketika melambai penyokong pasukannya semasa perlawanan antara Manchester United dan Partizan Belgrade di Old Trafford pada 7 November lalu. – AFP