Solskjaer minta jangan pilih Greenwood

LONDON, 18 SEPT – Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan bahawa dia meminta England untuk tidak memilih Mason Greenwood sebelum penyerang Manchester United itu dikeluarkan dari skuad selepas melanggar protokol koronavirus.

Greenwood bersama pemain Manchester City, Phil Foden telah diarah untuk pulang dari Iceland lebih awal pada bulan ini selepas mereka didapati membawa dua orang wanita tempatan ke dalam hotel skuad England.

Kedua-dua pemain itu baharu sahaja membuat penampilan sulung dalam kemenangan di Liga Negara-Negara menentang Iceland apabila video rakaman menunjukkan mereka telah melanggar gelembung bio-keselamatan bagi menghalang pemain dijangkiti virus
Pengurus pasukan kebangsaan England, Gareth Southgate mengakui dia tidak memahami kelakuan mereka dan menggugurkan mereka daripada perlawanan seterusnya di Denmark.

Tetapi pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan Greenwood dengan mengatakan dia memberi amaran kepada England mengenai pemain berusia 18 tahun itu yang perlu direhatkan sebelum bermulanya musim baharu.

“Ya, sudah tentu saya bercakap dengan Mason dan saya telah berbincang dengannya,” kata Solskjaer. “Sudah tentu, apa yang kami bincangkan akan menjadi perbualan di antara kami sahaja.

“Budak itu mengharungi musim yang hebat. Dia baru sahaja beraksi. Anda telah berada di penghujung musim dan kami mempunyai kurang dari dua minggu bercuti dan dia telah dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan.

“Sejujurnya saya telah melakukan yang terbaik untuk merehatkan dia sepanjang musim panas. Itu yang diminta oleh kelab secara khusus dan menegaskan dia perlu diberikan rehat secukupnya.

“Dia perlu merehatkan mental dan fizikalnya selepas musim diharunginya. Perkara pertama berlaku ialah dia telah diminta untuk mewakili negara dan kedua dia berada di tengah-tengah perhatian media,” katanya. – AFP

Aksi Mason Greenwood ketika mewakili England. Ole Gunnar Solskjaer menegaskan England untuk tidak memilih Mason Greenwood sebelum dia dikeluarkan dari skuad selepas melanggar protokol koronavirus. – AFP