Solskjaer pertahan Pogba

PERTH, 14 JULAI – Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa Paul Pogba akan menjadi pesaing bagi lilitan kapten Manchester United selepas pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu mengetepikan minggu tidak menentu dengan membantu United meraih kemenangan 2-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Perth Glory.

Selepas dikaitkan dengan satu perpindahan ke Real Madrid dan Juventus, kekaburan masa depan Pogba di Old Trafford telah membayangi jelajah pra musim United di Australia.

Susulan pemergian Antonio Valencia, Solskjaer kini mencari kapten baharu dan telah menimbulkan nama Pogba sebagai calonnya.

Ashley Young dan Juan Mata pula dilihat memakai lilitan kapten masing-masing pada setiap separuh masa ketika menentang Perth.

Apabila ditanya sama ada Pogba turut dipertimbangkan, bos United itu berkata, “Ya. Kami mempunyai beberapa kemungkinan dan apabila musim bermula, kami akan mengumumkannya.” – AFP

Juan Mata (kiri) dan Pogba (kanan) meraikan jaringan Rashford pada perlawanan menentang Perth Glory di Australia. – AP