Solskjaer sasar julang trofi bersama United

LONDON, 9 OGOS – Ole Gunnar Solskjaer memberitahu bahawa dia mahu Manchester United mengakhiri musim yang terjejas akibat koronavirus dengan memenangi Liga Europa dan berkata ia akan menjadi saat yang paling membanggakan dalam hidupnya.

United akan membuat perjalanan ke Jerman hari ini untuk beraksi di kemuncak kejohanan pada esok menentang FC Copenhagen dalam pusingan suku akhir. Solskjaer turut berharap perlawanan esok akan menjadikan pasukannya satu langkah ke hadapan untuk menjulang trofi pada 21 Ogos. United berpotensi berhadapan dengan cabaran sukar pada pusingan separuh akhir menentang sama ada AS Roma atau Sevilla.

United tewas dalam dua perlawanan separuh akhir musim ini – tewas ketika menentang Manchester City di Piala Liga dan Chelsea dalam Piala FA – jurulatih kelahiran Norway itu ingin mara ke pusingan akhir dan seterusnya memenangi kejohanan. “Saya sangat bercita-cita – dan ia adalah salah satu impian saya untuk menjulang trofi sebagai seorang pengurus kelab ini,” menurut Solskjaer dipetik dari media Britain. – AFP

Reaksi Solskjaer ketika memberikan arahan kepada pemain pada perlawanan menentang LASK. Solskjaer berkata ia akan menjadi saat yang paling membanggakan dalam kariernya jika berjaya menjulang trofi sebagai pengurus United.- AP