Son dibenarkan untuk pulang ke Korea Selatan

LONDON, 30 MAC – Penyerang Tottenham, Son Heung-min telah dibenarkan pulang ke negaranya Korea Selatan atas sebab-sebab peribadi.

Walaupun Britain telah mengarahkan perintah berkurung akibat COVID-19, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkata Son telah diberi kebenaran untuk kembali ke Asia.

Pemain berusia 27 tahun itu telah pulih selepas mengalami kecederaan patah lengan semasa kemenangan Tottenham menentang Aston Villa pada 16 Februari lalu.

Dilaporkan Son dan ibu bapanya akan tiba di Seoul dan akan menghabiskan dua minggu dalam kuarantin sejajar dengan garis panduan kerajaan Korea Selatan.

Son telah menghabiskan masa dua minggu dalam pengasingan diri di Britain selepas kembali dari Korea Selatan pada akhir Februari lalu, setelah menjalani pembedahannya.

Dia akan mengambil bahagian dalam program latihan jarak jauh Tottenham, yang akan bermula melalui panggilan video hari ini.

Son tidak dijangka akan kembali akibat kecederaan musim ini, tetapi pandemik telah menunda EPL sehingga sekurang-kurangnya 30 April. Sementara itu, rakan sepasukan Son, Steven Bergwijn telah pulang ke Belanda untuk menyambut kelahiran anaknya.

“Kelab ini memberi kebenaran untuk Son Heung-Min dan Steven Bergwijn untuk kembali ke negara asal mereka,” kata kenyataan di laman web Tottenham.

“Kedua-dua pemain akan meneruskan program pemulihan dan latihan masing-masing pada masa itu.” – AFP

Aksi Son pada perlawanan yang lalu di Korea Selatan. Son telah dibenarkan pulang ke negaranya Korea Selatan atas sebab-sebab peribadi. – AP