Son jalani latihan khidmat tentera

SEOUL, 2 APRIL – Penyerang Tottenham Hotspurs dari Korea Selatan, Son Heung-min akan melaporkan diri ke kem latihan tentera laut pada hujung bulan ini untuk memenuhi tugas-tugas perkhidmatan tentera, kata satu laporan hari ini.

Semua lelaki Korea Selatan yang berkemampuan adalah diwajibkan untuk berkhidmat dalam tentera selama dua tahun, membentuk sebahagian besar daripada 600,000 tentera Seoul, berbanding dengan 1.3 juta tentera Korea Utara.

Tetapi Son terlepas daripada latihan ketenteraan sebagai askar kerahan apabila Korea Selatan meraih pingat emas pada Sukan Asia pada tahun 2018 di Indonesia, menyebabkan pasukan tersebut dikecualikan.

Bintang Spurs itu mengeluarkan air mata kegembiraan selepas kemenangan 2-1 pada masa tambahan ketika menentang Jepun, yang bermakna dia boleh memenuhi kewajipannya dengan hanya tiga minggu latihan asas dan melakukan khidmat komuniti selama kira-kira 500 jam.

Musim Liga Perdana Inggeris pemain berusia 27 tahun itu berakhir sebelum wabak koronavirus merebak di Eropah apabila dia mengalami kecederaan tangan patah ketika menentang Aston Villa pada 16 Februari, dan Spurs berkata dia pulang ke Korea Selatan atas ‘sebab-sebab peribadi’.

Son akan melaporkan diri di kem latihan tentera laut di pulau Jeju pada 20 April untuk menjalani latihan asas, beritahu satu sumber industri kepada agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Dia memuat naik gambar mengenai dirinya sedang menjalani latihan di atas sebuah beranda besar kelmarin, melompat serta melakukan senaman regangan.

Liga Perdana Inggeris telah ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 30 April disebabkan pandemik dan berkemungkinan besar akan ditunda untuk tempoh yang lebih panjang apabila stakeholder perlawanan Liga Perdana Inggeris mengadakan perjumpaan esok. – AFP

Bintang Spurs, Son Heung-min akan menjalani latihan perkhidmatan tentera dan akan melaporkan diri pada 20 April nanti. – AFP