Son mula latihan tentera mandatori

SEOUL, 20 APRIL – Pemain Tottenham Hotspurs yang berasal dari Korea Selatan, Son Heung-min memulakan latihan ketenteraan selama tiga minggu di kem tentera laut hari ini, menurut laporan, dengan Liga Perdana Inggeris kini digantung kerana pandemik koronavirus.

Semua lelaki berkemampuan Korea Selatan adalah diwajibkan untuk berkhidmat dalam tentera selama dua tahun, membentuk sebahagian besar pasukan Seoul berjumlah 600,000 orang anggota – yang berdepan dengan tentera Korea Utara seramai 1.3 juta orang. Tetapi Son adalah antara pemain bola sepak Korea Selatan yang mendapat pengecualian kerana memenangi pingat emas ketika Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Musim Liga Perdana Inggeris bagi pemain 27 tahun ini telah tamat sebelum penularan wabak koronavirus di Eropah apabila dia mengalami kecederaan patah tangan ketika menentang Aston Vila pada 16 Februari, dan Spurs berkata dia telah pulang ke Korea Selatan atas ‘sebab-sebab peribadi’.

Son yang melaporkan diri di kem tentera laut di pulau bahagian Selatan, Jeju, akan menjalankan latihan asas selama tiga minggu, agensi berita Yonhap melaporkan. Foto dari Yonhap menunjukkan sekeping gambar Son menuju ke trak tentera dan tentera, memakai baju berwarna hijau, topi hitam dan memakai penutup muka.

“Pemain bintang Korea Selatan, Son Heung-min masuk ke kemudahan latihan Batalion ke-91 Briged Angkatan Laut ke-9,” menurut keterangan.

Agensi Son sebelum ini menggesa peminat untuk tidak pergi ke tempat tersebut kerana kerisauan mengenai koronavirus.

“Son Heung-min akan mengadakan latihan asas ketenteraan pada bulan April,” agensinya berkata dalam laman rasmi Facebook bulan ini. – AFP

Son Heung-min memulakan latihan ketenteraan selama tiga minggu tentera laut hari ini. – AFP