Sonaone dedah kisah cinta dalam karya

Meskipun tidak berkongsi rahsia hati secara terbuka, namun ada yang dapat menghidu penyanyi rap, SonaOne pernah merancang mendirikan rumah tangga dengan gadis yang dirahsiakan identiti.

Bagaimanapun, kisah berlalu bagaikan angin sepi hingga menimbulkan persepsi hubungan penyanyi lagu Apa Khabar dengan kekasihnya sudah bernoktah.

Bagi penyanyi kacukan Melayu-Perancis itu, tidak perlu menggembar-gemburkan kisah cinta yang kini hanya tinggal sejarah.

“Saya mahu ‘move on’ daripada kisah cinta yang terlerai. Saya anggap tiada jodoh antara kami.

“Bagi saya, tidak semua perkara didambakan akan berakhir seperti sebuah kisah dongeng,” katanya kepada media.

SonaOne mengatakan single Sape Kata menyingkap penilaian diri yang menjurus kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi. – Agensi

Mengulas idea penghasilan single terbaharu berjudul Sape Kata berdasarkan pengalaman perpisahannya, SonaOne atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach nyata memberi jawapan selamat.

“Boleh jadi iya atau sebaliknya, itulah jawapan kepada persoalan apakah ia cetusan daripada kisah cinta sendiri.

“Ia juga terpulang kepada apa interpretasi atau tafsiran masing-masing. Namun, apa yang pasti, semuanya bersifat peribadi.

“Saya tidak nafikan, ilham itu hadir daripada pengalaman sendiri. Namun, saya melihat single Sape Kata daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham serta jiwa kacau.

“Ia juga berdasarkan pengamatan mengenai pelbagai cerita dialami ketika COVID-19. Ramai teman saya putus cinta daripada hubungan yang panjang kerana kekurangan sisi komunikasi,” katanya kepada media.

Pemenang Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) menerusi lagu Apa Khabar kolaborasi bersama Joe Flizzow, SonaOne menambah, single Sape Kata menyingkap penilaian diri yang menjurus kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi.

“Ia sering terjadi pada tahap emosi sudah tidak mampu dibendung terutama tiada komunikasi antara satu sama lain.

“Karya ini mewakili satu rasa yang tidak selesa apabila dibelenggu hal meresahkan dalam kotak minda pasangan kekasih. Malah, pada masa sama berperang dalam hati mempersoalkan pelbagai pertanyaan, namun, pada akhirnya tidak memberi jawapan pasti,” kongsinya

Tambah SonaOne, adat dalam bercinta belum tentu berakhir dengan kemanisan. – Agensi