Sonia Gandhi kekal terajui parti pembangkang utama

NEW DELHI, 25 OGOS – Presiden sementara parti pembangkang utama India – Kongres Nasional India (INC) – Sonia Gandhi akan terus memegang jawatan itu sehingga presiden baharu dipilih.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kongres (CWC) yang diadakan secara maya pada Isnin selama lebih tujuh jam, berlangsung berikutan desakan ramai pemimpin INC agar anak Sonia, Rahul Gandhi sekali lagi menerajui parti berkenaan, lapor agensi berita Xinhua. Bercakap pada taklimat media selepas mesyuarat itu, Ketua Setiausaha (Organisasi) K.C. Venugopal berkata parti sebulat suara memutuskan Sonia terus menjadi presiden sehingga sesi Jawatankuasa Seluruh Kongres India (AICC) diadakan dalam waktu terdekat.

Dalam resolusi yang dipersetujui sebulat suara, 52 pemimpin kanan INC mengakui hanya Sonia yang dapat memimpin parti dalam keadaan sukar sekarang, terutama di tengah-tengah pelbagai cabaran termasuk yang ditimbulkan pandemik COVID-19. – Bernama