Sony tunda acara PlayStation 5

SAN FRANCISCO, 2 JUN – Sony semalam menangguhkan satu acara penstriman di mana ia sepatutnya memaparkan permainan yang dikhaskan untuk konsol PlayStation 5, ditunda di tengah pergolakan yang meningkat di bandar Amerika Syarikat (AS).

Pertunjukan permainan digital PS5 telah pun dijadualkan pada Khamis. Sony tidak memberikan tarikh baharu untuk pelancaran dalam talian itu.

“Sementara kami memahami pemain di seluruh dunia berasa tidak sabar-sabar untuk melihat permainan PS5, kami rasa masa sekarang bukan masa sesuai untuk meraikannya,” kata kumpulan PlayStation dalam satu mesej di Twitter.

“Untuk sekarang, kami mahu berundur dan mendengar kepada suara lebih penting.”

Tindakan itu diambil di tengah keganasan dan ketegangan perkauman yang meningkat dalam respons terhadap pembunuhan seorang lelaki warga Afrika-Amerika George Floyd dalam kejadian yang dirakamkan di video.

Pengeluar permainan video AS Electronic Arts, dalam tindakan berasingan, membatalkan pelan untuk pembentangan penstriman pada minggu ini yang dikhaskan kepada judul baharu Madden NFL 21 berdasarkan bola sepak profesional AS.

“Kami menyokong komuniti kawan, pemain, rakan sekerja dan rakan kongsi Afrika-Amerika kami,” kata EA yang berpangkalan di California.

Pambatalan ekstravaganza industri permainan video Ekspo Hiburan Elektronik tahunan di Los Angeles pada bulan ini disebabkan pandemik mendorong mereka yang merancang membuat pengumuman atau pembentangan untuk menjadualkan acara dalam talian.

Sony dijadual melancarkan konsol PlayStation 5 pada hujung tahun ini. – AFP

Gambar fail menunjukkan logo Sony PlayStation pada Sukan Tokyo di Makuhari, wilayah Chiba pada 12 September 2019. Sony menunda acara penstriman pada 1 Jun di mana ia dijangka memaparkan permainan dikhaskan untuk konsol PlayStation 5. – AP