LABUAN, 3 SEPT – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Labuan telah bersetuju melonggarkan kuarantin wajib ke atas pengunjung dan kru kapal yang memasuki Wilayah Persekutuan itu.
Pengerusinya Rithuan Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) yang baharu diselaraskan bagi kua-rantin telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara dan berkuat kuasa pada 1 Sept lepas.
“Kelonggaran itu adalah selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kadar vaksinasi yang paling tinggi dalam kalangan penduduk dewasa di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata tempoh kuarantin bagi memasuki Labuan hanya lima hari bagi penduduk setempat dan rakyat Malaysia yang menetap di pulau itu, dan dengan keputusan negatif bagi ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (RT-PCR) (sah selama tiga hari) serta pengunjung digalak melengkapkan pengambilan dos kedua vaksin.
“Bagi penjawat awam yang ingin memasuki Labuan bagi tugas rasmi selama tiga hari, mereka boleh memohon SOP gelembung hijau manakala penduduk Labuan yang melakukan perjalanan ke luar untuk urusan rasmi, mereka tidak perlu menjalani kuarantin (selepas kembali), dengan syarat ujian RT-PCR mereka (bagi tempoh tiga hari) masih sah,” katanya.
Rithuan berkata pengunjung (penduduk Labuan, rakyat Malaysia yang menetap di pulau itu dan penjawat awam) yang tidak divaksin akan diarah menjalani kuarantin selama 10 hari sejurus tiba di sini dan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen pada hari kelapan dalam tempoh kuarantin. – Bernama
