SOP pembukaan semula pawagam

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Fasa Peralihan akan bermula pada 19 November nanti di mana pembukaan semula tempat kerja dan premis perniagaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan beberapa sekatan untuk mencegah terjadinya kes jangkitan yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian disebabkan penyakit COVID-19.

Semasa fasa tersebut, panggung wayang atau pawagam dibenarkan untuk dibukakan semula dengan memastikan pematuhan kepada langkah-langkah kawalan COVID-19 seperti yang disenaraikan dalam Garis Panduan bagi Panggung Wayang/Pawagam yang boleh didapati di laman sesawang Jabatan Perdana Menteri.

Menurut garis panduan berkenaan, hanya pekerja yang melengkapkan dua dos vaksin dibenarkan bekerja, pihak majikan dinasihatkan untuk membuat saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) secara berkala ke atas pekerja-pekerja dan hanya pekerja yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja dibenarkan memasuki premis untuk bekerja.

Selain itu, mana-mana pekerja yang kurang sihat dinasihatkan untuk tidak hadir bekerja, memastikan pekerja-pekerja sentiasa memakai pelitup muka pada setiap masa, mendaftar premis untuk mendapatkan kod QR BruHealth dan seterusnya mencetak kod QR berkenaan untuk dilekatkan di kawasan pintu masuk serta mengehadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa kepada 50 peratus daripada jumlah kapasiti biasa atau tidak melebihi 200 orang (yang mana lebih rendah).

Garis panduan menyarankan para pemilik atau pekerja panggung wayang dan pawagam untuk mempamerkan notis jumlah maksimum dan jumlah 50 peratus kapasiti dan status vaksinasi pekerja di luar premis, premis tidak dibenarkan untuk menambah kapasiti ruang duduk daripada kapasiti biasa, penjualan makanan dan minuman di premis tidak dibenarkan, memastikan penjarakan fizikal dan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu tempat duduk di antara pengunjung pawagam di mana pelanggan yang datang dalam kumpulan keluarga dibenarkan duduk berdekatan, memastikan siaran filem yang ditayangkan akan menjarakkan masa tayangan selepas habisnya satu tayangan filem bagi membolehkan pihak pawagam membersihkan tempat duduk dan persekitaran pawagam untuk di sanitasi sepenuhnya, melaksanakan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis dan menyediakan pensanitasi tangan serta mematuhi garis panduan dalam pembersihan dan sanitasi premis.

Sementara itu, bagi para pelanggan, mereka perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi BruHealth sebelum memasuki pawagam di mana hanya individu yang mempunyai kod
warna hijau dan kuning akan dibenarkan masuk ke premis, hanya individu yang melengkapkan dua dos vaksin dibenarkan untuk masuk premis dengan menunjukkan status vaksinasi di aplikasi BruHealth atau Buku Vaksinasi, individu yang belum divaksinasi termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan individu yang belum melengkapkan dua dos vaksin tidak dibenarkan masuk ke premis.

Para pelanggan juga dimestikan memakai pelitup muka pada setiap masa, individu yang kurang sihat dinasihatkan untuk tidak mengunjungi premis, pengunjung tidak dibenarkan makan atau minum semasa menonton tayangan filem serta mengamalkan kebersihan diri pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan.

Setiap premis perniagaan dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Mana-mana pemilik premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi garis panduan pembukaan semula premis dan syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan premis berkenaan boleh diarahkan untuk tutup dengan serta-merta.