SOP solat Sunat Tarawih dan Witir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Negara Brunei Darussalam memulakan ibadah puasa di bulan Ramadan pada hari ini, oleh itu, Solat Sunat Tarawih dan Sunat Witir telah diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat dengan prosedur-prosedur operasi standard (SOP), selepas Isyak kelmarin.

Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media di Kementerian Kesihatan baru-baru ini, telah mengongsikan garis panduan dan SOP aktiviti di bulan Ramadan dan solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bagi masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Bagi tadarus Al-Quran, khatam Al-Quran dan ceramah, mengikut SOP aktiviti masjid dengan kapasiti 100 peratus dewan sembahyang masjid atau 300 orang (mana yang lebih rendah).

Qiamullail pula dibenarkan dengan pengawasan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa takmir masjid, manakala itu, sungkai dan sahur tidak dibenarkan secara bufet sebaliknya hanya dibenarkan secara tapau atau menggunakan dome table.

Pembayaran Zakat Fitrah pula dibenarkan di dalam dan di luar masjid.

Bagi solat Sunat Hari Raya Aidilfitri pula mengikuti SOP sembahyang fardu Jumaat (lelaki sahaja) dan bagi penjarakan fizikal, satu kaki antara tikar sembahyang berukuran besar.

Dalam pada itu, SOP semasa berada di masjid, surau dan balai ibadat yang berjalan pada masa ini adalah masih diteruskan pelaksanaannya sebagaimana yang telah ditetapkan.