Sebelum ini, isu dikongkong pihak pengurusan pernah terpalit pada pelakon, Hannah Delisha.
Bernaung di bawah syarikat yang sama, Prodigy Syndrome Management, pelakon baharu, Sophia Koshka Albarakbah, juga tidak terkecuali.
Entah mengapa, pelakon ini juga terkena dengan persoalan yang sama sementelah Sophia mengaku, dia bukanlah seorang artis yang gemar berkongsi cerita peribadi.
Jawapan itu jugalah yang diucapkan oleh Hannah ketika pernah ditemu bual media tempatan sebelum ini. Maka disebabkan itu tidak hairanlah mengapa Sophia juga terpalit dengan sangkaan yang sama.
“Saya ini bukanlah nak sorok apa-apa. Cuma saya ini bukan orang yang suka berkongsi hal peribadi. Tak kisahlah pasal dirikah, atau hal keluargakah, saya lebih suka simpan sendiri. Kalau orang nak tahu pasal kerjaya atau kejayaan saya okey.
“Jangan salah faham, ini semua adalah keputusan saya sendiri. Tak ada kena-mengena dengan pihak pengurusan. Sebenarnya, tak pernah sekali pun pihak pengurusan mencampuri urusan peribadi saya.
“Baik nak bercintakah, nak berkahwinkah. Nak dedahkan siapa teman lelaki atau tidak, itu semua terpulang kepada saya,” katanya.
Menurut pelakon berusia 29 tahun ini, sifatnya yang pendiam atau introvert membuatkan orang lain sukar untuk menembusi isi hatinya dan begitu juga dengan soal cinta.
“Ada yang pernah bertanya pada saya, tak adakah yang cuba memburu cinta? Saya ini pula bukan jenis nak sorok-sorok kalau bab bercinta. Bagi saya, kalau saya nak dedahkan siapa pasangan saya, mungkin jika sudah sah bernikah nanti.
“Selagi belum berkahwin, tak nak dedahkan dengan siapa saya berkawan. Iyalah, benda tak pasti, buat apa nak canang-canangkan, betul tak?. Susah nak cakap bab teman ini sebab percaya atau tak, saya ini pun jenis suka duduk rumah kalau tak ada kerja.
“Amat jarang bersosial. Tak ada peluang nak pergi berparti atau apa, memang saya macam itu,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia selesa sering disamakan dengan cara Hannah Delisha, Sophia bagaimanapun tidak tersinggung. Katanya, sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, sudah tentu dia saling menyokong dan kebetulan, sangat menghormati pelakon tersebut. Pun begitu, kata Sophia, dia tidak selesa andai ada yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan Hannah memandangkan selama ini hubungan yang baik telah terbina antara mereka.
Bersyukur kerana bakatnya dalam dunia seni lakon semakin diterima ramai, Sophia, bagaimanapun tidak mahu berasa tersaingi dengan bakat-bakat baharu yang semakin ramai mewarnai dunia seni. – Agensi