Sophia Liana muncul dengan single baharu

Penyanyi rap, Sophia Liana kembali meraih perhatian apabila muncul dengan single terbaharunya, Dulu pada 9 Oktober lalu.

Lagu yang diciptanya bersama Fadzril Asyraf ini sudah mula mendapat reaksi positif pendengar yang menyifatkannya antara karya terbaik tempatan pada tahun 2020.

Bercerita mengenai keistimewaan lagu Dulu, Sophia atau nama penuhnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 30, memberitahu, lagu tersebut berbeza dengan lagu Ngam yang disampaikan bersama troopers dalam program Dansa Dan Sing, Budak Ngam pada Mac lalu.

Sophia Liana muncul dengan single terbaharunya, Dulu. – Agensi

“Apa yang pasti, saya sampaikan Dulu berbeza dengan lagu bersama De Fam atau Budak Ngam.

“Dulu ada melodi mesra telinga yang dihiasi dengan bait-bait kata yang mudah difahami namun sarat dengan mesej tersirat yang lebih mendalam,” ujarnya kepada media.

Tambah Sophia, dia merakamkan lagu itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pertama dahulu.

“Cabaran merakamkan lagu ini dan pembikinan muzik videonya adalah masa. Kami ada masa yang terhad untuk menjalani penggambaran dan juga mempromosikan lagu ini.

“Konsep video muzik ini adalah idea saya sendiri di mana saya mahu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kini. Mengambil inti pati utama lirik lagu Dulu, dalam video muzik ini saya menggambarkan seorang wanita yang merenung masa lalunya daripada perspektif yang lebih positif.

“Pengalaman suka dukanya yang dahulu telah menjadikan dirinya sekarang yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” jelasnya.

Video muzik rasmi Dulu sudah boleh ditonton di saluran YouTube Sophia Liana bermula 27 Oktober. Single Dulu pula boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 9 Oktober 2020.

Berkongsi perancangannya dan De Fam pada 2021, Sophia berkata, dia berhasrat untuk tampil dengan projek album solo, tetapi dalam masa yang sama tetap aktif bersama De Fam.

“Bagi tahun 2021, saya merancang untuk tampil dengan lebih banyak lagu featuring. Saya juga merancang tampil dengan album solo yang mempunyai pelbagai genre lagu seperti funk dan reggae.

“Dalam masa yang sama, saya bersama De Fam juga merancang tampil dengan lagu baharu.

“Bukan hanya terhadap karier muzik, saya juga merancang untuk berikan masa kepada perniagaan, Insya Allah,” katanya. – Agensi