Sorok minuman keras seludup bawah timbunan tepung

LABUAN, 25 NOV – Taktik mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan konsainan minuman keras seludup di bawah timbunan tepung gandum dalam sebuah lori, gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan itu dalam operasi Op Terancang (Op Benteng COVID-19) semalam.

Hasil maklumat, terdapat sebuah lori 10 tan dipercayai membawa muatan minuman keras menaiki feri yang berlepas dari Terminal Feri Labuan pada tengah hari Selasa, sebelum berhenti di jeti Menumbok pada 6:15 petang untuk menghala ke tanah besar Sabah.

Menurut Pemangku Pegawai Pemerintah PPM, Inspektor Shafiq Rezza, pemandu lori berusia 38 tahun itu ditahan dan diserahkan ke balai polis Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Pemandu lori itu cuba menipu pegawai penguat kuasa dengan meletakkan tepung gandum dalam karung guni di atas minuman keras jenis Royal Stout dan Guinness Stout, tidak bercukai.

“Semasa disiasat, pemandu itu berkata dia menghala ke Kota Kinabalu tetapi gagal memberi penjelasan yang memuaskan di mana dia menyembunyikan minuman keras itu dan siapa pelanggannya.

Shafiq berkata konsainan minuman keras seludup termasuk cukai dianggarkan RM13,000. Turut disita tepung berharga RM50,000 dan sebuah lori jenis Nissan bernilai RM250,000. – Bernama