Southampton mara ke pusingan keempat Piala FA

SOUTHAMPTON, 20 JAN – Southampton akan menerima kunjungan juara bertahan, Arsenal pada pusingan keempat Piala FA selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Shrewsbury semalam.

Dan N’Lundulu berjaya menemukan jaringan sulungnya pada penampilan pertama dalam kesebelasan utama untuk The Saints pada minit ke-17 di Stadium St Mary sebelum jaringan pemain England, James Ward-Prowse memastikan kemenangan bergaya buat pasukan itu pada minit-minit akhir perlawanan.

Pertemuan Saints dan Arsenal di Stadium St Mary pada Sabtu ini adalah seperti ulangan perlawanan final Piala FA 2003 di mana Gunners menang 1-0.

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, melakukan tujuh pertukaran dengan barisan pemainnya yang tewas 0-2 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester ternyata memuji aksi barisan pemain mudanya ketika menjangkakan perlawanan berdepan Arsenal pasti perlawanan yang sukar bagi kelab itu.

“Semua pemain muda melakukan tugas dengan baik,” kata Hasenhuttl kepada BT Sport.

“Anda boleh lihat di bilik persalinan mereka agak gementar. Namun mereka harus berani, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan ia adalah perlawanan yang baik buat mereka.”

Kelab divisyen tiga, Shrewsbury yang beraksi pada perlawanan kompetitif pertama sejak Disember berikutan kes COVID-19, tampil tanpa pengendali Steve Cotterill yang berada di unit rawatan rapi akibat virus berkenaan.

Cotterill dibawa ke hospital minggu lalu selepas virus melanda kelab berkenaan, menyebabkan perlawanan pusingan ketiga awal bulan ini terpaksa ditangguhkan. – AFP

Aksi Yan Valery dari Southampton (kiri) ketika mengawal bola semasa perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Shrewsbury di Stadium St Mary, semalam. – AP