LONDON, 27 Jun – Southampton telah menandatangani Stuart Armstrong dari juara Scotland, Celtic dalam perjanjian empat tahun, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu kelmarin.
Bayaran perpindahan tidak didedahkan oleh kelab tersebut tetapi media Britain melaporkan bahawa pemain tengah Scotland, Armstrong menyertai Southampton dengan nilai AS$9.25 juta. Masa depan Armstrong di Parkhead masih samar selepas rundingan bersama kelab gergasi Glasgow itu terjejas dan Celtic nampaknya telah memutuskan untuk melepaskan Armstrong dan tidak mahu berdepan risiko dia meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat. Bekas pemain Dundee United, Armstrong telah menjadi sebahagian daripada kelab Celtic yang baru-baru ini merangkul ‘kejuaraan berganda’ di bawah pengurusan Brendan Rodgers.
Secara keseluruhannya, Armstrong telah memenangi lapan trofi semasa bersama Celtic. Dia menjaringkan 17 gol semasa musim 2016/2017 dan kembali membarisi skuad Scotland tetapi dihentam dengan masalah kecederaan. Armstrong merupakan penandatanganan pertama Southampton pada pra-musim selepas hampir tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.
Southampton hanya mencatat 37 gol musim lepas dan pengurus Mark Hughes berharap Armstrong akan membantu di bahagian serangan.
“Stuart merupakan pemain yang sudah lama kami minati dan saya teruja kerana dapat membawa masuk ke kelab ini terutama sekali persaingan yang kami hadapi semasa cuba untuk mendapatkannya,” beritahu Hughes melalui laman sesawang Southampton.
“Kami memiliki pemain yang mantap dan ia penting untuk membentuknya dengan menambah kualiti yang berbeza. “Ia penting untuk menambah ancaman di depan gawang dan terutama sekali di bahagian tengah dan rekod jaringan Stuart, kemasukannya di kelab ini merupakan sesuatu yang sangat mengujakan,” tambah Hughes. – AFP