Southgate bangga meski tewas

MOSCOW, 12 Julai – Pengurus pasukan England, Gareth Southgate berkata England ‘meninggalkan segalanya di luar sana’ selepas tewas menerusi perlawanan masa tambahan kepada Croatia dalam persaingan separuh akhir Piala Dunia awal pagi tadi.

England berharap untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia yang pertama sejak tahun 1966, tetapi tersingkir dengan kekalahan 2-1.

“Saya rasa pada separuh masa pertama kami beraksi dengan baik dan mungkin kami boleh menjaringkan gol seterusnya,” Southgate memberitahu ITV.

“Saya tidak akan meminta lebih banyak daripada pemain. Saya rasa persaingan kalah mati adalah mengenai margin yang menarik dan apabila anda memiliki kedudukan yang bagus menentang pasukan yang bagus, anda perlu untuk memanfaatkan peluang anda.

“Malam ini kami tidak berada di sana tetapi kami akan belajar darinya. Kami meninggalkan segalanya di luar sana.”

Gareth Southgate cuba menenangkan pemain-pemainnya selepas tewas dalam aksi separuh akhir menentang Croatia. – AP

Southgate berkata para pemain merasa kecewa, tetapi pasukan mudanya boleh mencapai banyak perkara yang hebat dalam masa beberapa tahun, dengan Kejuaraan Eropah hanya dua tahun saja lagi.

“Ia adalah mustahil untuk menyatakan sesuatu agar pemain–pemain merasa lebih baik pada ketika ini,” katanya.

“Kami perlu berbangga dengan apa yang kami capai. Saya tidak rasa seseorang boleh memberikan lebih banyak.

“Para pemain sudah kehilangan ketajaman dan ia adalah sebahagian dari usia mereka, secara fizikalnya mereka masih dalam proses kematangan. Croatia memiliki wira-wira yang kental yang memahami perlawanan–perlawanan besar apabila berhadapan dengan persaingan.

“Para pemain perlu mengharungi perlawanan–perlawanan besar dan berpengalaman untuk menjadi sebuah pasukan yang boleh mencatatkan kemenangan. Mereka perlu menggunakan pengalaman ini bagi kebaikan dan saya tahu apa yang berlaku sejak beberapa minggu lalu akan menjadikan mereka pasukan yang lebih kuat.”

Sementara itu Harry Kane dilihat bersedia untuk mendapatkan Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia, tetapi bintang kelab Tottenham itu dilihat hampir menambah gol keenamnya ketika bertemu Croatia. – AFP